fbpx

Pengunjung ramai punca lambakan sampah di Teluk Senangin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang tular dalam media sosial menunjukkan sekitar kawasan pantai peranginan di Teluk Senangin, Perak, yang berterabur dan kotor.

LUMUT – Pungutan sampah di pantai Teluk Senangin, Segari dekat sini, meningkat dua kali ganda sejak rentas negeri dan aktiviti riadah dibenarkan bermula 11 Oktober lalu terutama pada cuti perayaan dan hujung minggu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, dianggarkan kira-kira 250 kilogram sampah dikutip di pantai itu semasa cuti perayaan dan dua hari cuti hujung minggu.

“Keadaan ini berlaku kerana berlaku pertambahan pengunjung walaupun kita melakukan pembersihan di pantai itu setiap hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas gambar sampah di sekitar pantai peranginan tersebut yang tular dalam media sosial sejak kelmarin.

Menurut Syamsul Hazeman, gambar yang tular itu diambil ketika cuti panjang empat hari pada 4 hingga 7 November lalu iaitu sempena Deepavali, keputeraan Sultan Perak dan cuti hujung minggu serta dirakam sebelum kontraktor melakukan kerja-kerja pembersihan.

Jelasnya, pertambahan pengunjung di pantai itu termasuk ada yang melakukan aktiviti perkhemahan pada waktu malam antara faktor menyebabkan longgokan sampah yang banyak.

Selain itu katanya, sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung membuang sampah merata-rata termasuk tindakan monyet menyelongkar sampah menyebabkan sekitar kawasan pantai itu kelihatan tidak terurus dan kotor.

“Jumlah tong sampah yang disediakan mencukupi, malah ada tong sampah yang tidak penuh malangnya ada segelintir pengunjung tidak membuang sampah dengan betul sebaliknya hanya meninggalkannya di tepi tong itu.

“Tindakan monyet menyelongkar sampah juga menyebabkan ia bertaburan dan haiwan itu hanya muncul sejak pantai itu kembali dikunjungi ramai selepas mendapati banyak sisa makanan ditinggalkan pengunjung,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI