AMPANG JAYA – Seorang pelajar warga asing ditahan kerana mencederakan rakannya dalam satu kejadian di tempat letak kereta sebuah apartment di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 pagi.
“Mangsa cuba meminta kad pengenalannya yang disimpan suspek menyebabkan pertelingkahan berlaku di antara mereka.
“Susulan itu, suspek yang berang dengan permintaan mangsa bertindak memeluk dan mencekik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa berjaya melepaskan diri daripada pergelutan itu namun mengalami kesan lebam di bahagian kepala dan mata.
“Menurut keterangan yang diperolehi, pengadu dan suspek merupakan kenalan dan pengadu ada meminjanm wang dari suspek yang menjadikan kad pengenalan miliknya sebagai cagaran,” ujar beliau.
Menurut Mohamad Farouk, pihak polis kemudiannya telah membuat tangkapan ke atas suspek di sebuah universiti swasta pada pukul 2.45 petang.
“Hasil semakan mendapati mangsa mempunyai rekod orang dikehendaki di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bersabit kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan diserahkan kepada Bahagian Narkotik IPD Cheras.
“Suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 kanun yang sama. – K! ONLINE