fbpx

Pelajar SMA Bugisiah Benut derita kaki bengkok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Asri (kiri) menunjukkan kaki kanan Muhammad Adam Zakuan yang bengkok selepas menghidap Blount ketika ditemui di Taman Desa Seri Molek, Pontian baru-baru ini.

PONTIAN – Seorang pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Bugisiah Benut di sini terpaksa menelan pahit erti kehidupan apabila dia diuji menghidap gangguan pertumbuhan tulang atau dikenali sebagai Blount.

Ujian yang menimpa Muhammad Adam Zakuan Muhammad Asri, 14, menyebabkan dia sukar berdiri, berjalan dan berlari.

Menurut bapanya, Mohd. Asri Yusof, 46, penyakit yang dialami anak kedua daripada tiga beradik itu mula dikesan ketika Muhammad Adam berada di tahun lima sebelum melakukan pembedahan pada tahun lalu.

“Pembedahan itu bagi meletakkan plat besi dan skru pada tulang kakinya, namun selepas tujuh bulan, keadaan Muhammad Adam tidak berubah, malah bertambah sakit terutama ketika menaiki tangga.

“Ketika dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), doktor nasihatkan supaya membuat pembedahan susulan dengan plat yang lebih besar bagi meluruskan kaki anak saya,” katanya di rumahnya di Taman Desa Seri Molek di sini baru-baru ini.

Mohd. Asri menambah, dia yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan kira-kira RM1,500
sebulan, namun kini tidak dapat bekerja kerana turut diuji menghidap jangkitan kuman pada paru-paru menyebabkannya cepat penat.

Jelasnya, dia kini hanya membantu isteri, Hasrina Hashim, 42, dengan menghantar kuih-muih yang ditempah pelanggan serta menghantar ke gerai berdekatan di Taman Sri Aman di sini.

“Pihak HUKM telah meminta keluarga kami menyediakan kos sebanyak RM19,000 bagi membeli plat besi lebih besar bagi membolehkan Adam menjalani pembedahan pada Januari tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Hasrina berkata, bagi menyediakan kos pembedahan itu, mereka sekeluarga mungkin akan mengambil masa yang agak lama.

“Sebelum ini, kaki kiri Adam telah pun dimasukkan plat besi.

“Sekarang saya kasihan melihat Adam yang kadangkala terpaksa bercuti kerana mengalami kesakitan pada kaki sebelah kanannya pula,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin me­nyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam 01108029377745 atau menghubungi Hasrina di talian 019-936 1908.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI