fbpx

Pekerja pusat cuci kereta ketua sindiket edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mustafa Kamal Gani Abdullah (dua dari kanan) dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPK) Pulau Pinang, Georgetown, menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam satu operasi di Seberang Jaya, Ahad lalu.

GEORGE TOWN – Seorang pekerja pusat cuci kereta yang dipercayai bertindak sebagai ketua sindiket pengedaran dadah di negeri ini ditahan polis di Seberang Jaya, Seberang Perai dekat sini, Ahad lalu.

Dalam serbuan kira-kira dua jam bermula pukul 12 tengah hari itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah seberat lebih 27 kilogram (kg) termasuklah ganja, syabu, heroin base dan lain-lain bernilai kira-kira RM146,774.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 37 tahun tersebut yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis ganja, syabu dan heroin untuk pasaran tempatan berjaya ditahan di kawasan tempat letak kereta.

Katanya, ketika ditahan polis turut merampas dadah jenis ganja seberat 6.4 kg yang dianggarkan bernilai RM15,000 yang disimpan dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

“Susulan penangkapan suspek, polis menyerbu sebuah rumah yang disewa suspek di kawasan flat kos rendah di Seberang Jaya.

“Di rumah ini, polis menemui 12 ketulan ganja seberat 12.4 kilogram, tiga paket syabu (1.8 kg), satu ketulan heroin base (375 gram) dan serbuk kafein (6.6 kg) di mana nilai keseluruhan rampasan ini dianggarkan bernilai RM146,774,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek dipercayai bergiat aktif mengedar dadah sejak awal Jun lalu dan dipercayai memperolen bekalan dadah daripada rangkaian sindiket tempatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI