Baru-baru ini, penyanyi terkenal Taylor Swift melancarkan semula versi baharu lagu berjudul All Too Well berdurasi 10 minit yang diketahui umum berkisar tentang kisah percintaannya dengan pelakon Hollywood, Jake Gyllenhaal.
Swift dan Gyllenhaal berpacaran pada 2010 ketika penyanyi itu baru berusia 20 tahun dan Gyllenhaal berusia 30 tahun.
Menariknya, menerusi versi baharu itu, satu bait lirik yang dinyanyikan Swift mendedahkan bahawa antara punca hubungan pasangan itu yang ternoktah selepas tiga bulan adalah kerana Gyllenhaal menyifatkan Swift terlalu muda.
Isu perbezaan umur ketara antara pasangan kekasih atau suami dan isteri adalah sesuatu yang sering dibincangkan.
Ada yang tidak melihatnya sebagai satu isu besar, namun ada juga yang mengatakan jurang umur yang terlalu jauh sebenarnya memberikan kesan dan mempengaruhi perhubungan.
Profesor Biologi dan Neurologi dari Universiti Stanford, California, Robert M. Sapolsky berkata, terdapat kajian saintifik yang mengaitkan kematangan otak dan bagaimana ia mempengaruhi sikap dan perilaku seseorang dalam perhubungan.
“Mungkin fakta yang paling menarik tentang perkembangan manusia adalah bahagian korteks hadapan pada otak merupakan bahagian terakhir yang matang sepenuhnya.
“Ia tidak sepenuhnya matang sehingga anda berumur kira-kira 25 tahun,” katanya.
Ini menjelaskan mengapa remaja bersikap seperti remaja di mana mereka lebih cenderung melakukan sesuatu yang berisiko tinggi dan memberikan sensasi keseronokan.
Tambah Sapolsky, bahagian korteks hadapan juga sebahagian besarnya dibentuk oleh persekitaran dan pengalaman, selain merupakan bahagian otak paling kurang dikawal oleh genetik.
“Perbezaan otak individu berusia 60 tahun dengan individu berusia 20 tahun adalah, individu 60 tahun lebih tertutup untuk menerima sesuatu yang baharu dan mengawal tekanan dengan cara berbeza.
“Lazimnya, mereka cenderung belajar menyesuaikan diri dan menerima sesuatu yang tidak boleh diubah, namun bagi individu berusia 20 tahun pula, otak mereka sentiasa berfikir bahawa tiada apa di dunia ini yang tidak boleh diubah,” katanya.
Malah, hasil kajian yang dijalankan oleh Universiti Emory, Atlanta pula mendapati semakin besar jurang usia antara suami dan isteri maka semakin tinggi risiko perceraian.
Kajian yang menganalisis 3,000 pasangan itu mendedahkan suami dan isteri dengan perbezaan usia lima tahun dan ke atas mempunyai kecenderungan sebanyak 18 peratus untuk bercerai, manakala pasangan dengan jarak usia 10 tahun pula mempunyai kecenderungan sebanyak 39 peratus untuk bercerai.
Kajian sama menyatakan jarak usia paling ideal antara pasangan adalah satu tahun. Hal ini mungkin disebabkan keserasian yang tinggi dan cara menjalani kehidupan berumah tangga yang sama.
Apa pun, jodoh merupakan rahsia Allah dan seperti mana pasangan lain dan setiap hubungan itu pasti melalui pelbagai cabaran dan rintangan seperti perbezaan pendapat, prinsip serta gaya hidup.
Jurang umur tidak seharusnya menjadi titik fokus dalam sesebuah hubungan dan asalkan wujud keserasian, ikatan cinta dengan jurang usia begitu besar pun pasti akan dapat dilalui dengan penuh keindahan.