PETALING JAYA – Meleraikan persoalan dan tanda tanya netizen, pelakon dan penyampai radio Hot FM, Riena Diana menjelaskan ‘benjolan’ yang timbul pada bahagian dadanya hanyalah bentuk jahitan busana yang digayakan.
Riena berkata, dia mendapat banyak kiriman Direct Message atau DM dalam Instagram yang menegurnya kerana tampil berpakaian tidak senonoh pada sebuah majlis anugerah berprestij baru-baru ini.
“Mungkin ada yang melihatnya sebagai tidak senonoh, tetapi sebenarnya itu adalah bentuk dart (jahitan) busana dipakai saya.
“Oleh itu, saya mengambil pendekatan untuk menjelaskan perkara ini supaya tidak dipanjangkan lagi,” katanya.
Tambah Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 24, pada mulanya dia hanya menutup sebelah mata mengenai isu berkenaan namun menjadi besar sehingga membuatkan beberapa pihak bertelagah menerusi ruangan komen dalam media sosialnya.
“Dua hari sebelum itu lagi saya ada membuat fitting (ukuran), jadi mana mungkin saya memakai baju yang seksi dan tidak senonoh begitu.
“Saya akan mengambil langkah berhati-hati pada masa depan supaya tidak menimbulkan salah faham lagi,” katanya lagi.
Terdahulu, pelakon yang mencipta nama menerusi watak Lailer dalam drama Kampung People itu menggayakan busana jenama Official Yuleza pada majlis Anugerah Bintang Popular ke-34 (ABP34) Sabtu lalu. – K! ONLINE