PETALING JAYA – Tindakan kerajaan mewajibkan individu bekerja dalam bidang p-hailing atau e-hailing mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) adalah demi menjaga kebajikan dan keselamatan mereka.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, ini adalah selaras dengan pewartaan Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar caruman Bagi Orang Yang Menjalankan Perkhidmatan Pengangkutan Dan Penghantaran Barangan Atau Makanan) 2021 melalui P.U.(A) 372 bertarikh 21 September 2021 dan mula berkuatkuasa mulai 1 Oktober lalu.
“Pekerja p-hailing berkenaan boleh memilihkan pelan caruman RM157.20 atau RM 232.80 atau RM442.80 atau RM592.80 untuk tempoh perlindungan selama setahun seperti termaktub di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789).
“Orang bekerja sendiri ini wajib mencarum dengan kadar caruman sangat rendah terbahagi kepada empat kategori iaitu minimun setahun RM157.20 dan RM232.80 setahun atau RM442.40 setahun atau RM592.80 setahun di mana kerajaan akan memberi insentif bayaran atau subsidi sekitar 70 peratus pada tahun ini, “jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Salim Sharif (Jempol-BN) yang meminta menteri berkenaan menyatakan usaha yang telah dilakukan untuk menggalakkan caruman skim perlindungan Perkeso dan Sistem Insurans Perkerjaan (SIP) bagi bidang p-hailing dan e-hailing.
Katanya, dikhabarkan bahawa tahun hadapan kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 80 peratus daripada RM232.80 kadar caruman yang sepatutnya dibayar oleh pekerja sendiri e-hailing atau p-hailing berkenaan.
“Ini bermakna pekerja e-hailing atau p-hailing hanya perlu membayar antara RM20 hingga RM30 untuk mendapatkan perlindungan di bawah skim Perkeso pada tahun depan,” katanya. – K! ONLINE