fbpx

Indeks Daya Huni Malaysia jadi pengukur perancangan bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL Sabri (dua dari kanan) merasmikan sambutan 100 tahun Perancang Bandar Malaysia sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2021 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA – Indeks Daya Huni Malaysia akan menjadi pengukur berimpak tinggi kepada semua lokaliti terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan perancangan pembandaran khususnya dirangka dengan mengambil kira kesemua kriteria di bawah Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN Ke-4).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengenalan indeks berkenaan adalah bagi memastikan keseluruhan pelaksanaan RFN Ke-4 serta aspek daya huni boleh memberi nilai tambah dalam merancakkan ekonomi negara.

“Indeks Daya Huni ini juga akan digunakan sebagai satu instrumen dasar ke arah menilai kemampanan bandar agar matlamat RFN Ke-4 dengan didasari Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dapat dicapai sebaiknya.

“Saya yakin, pelaksanaan RFN Ke-4 ini akan menerima komitmen semua pihak khususnya kementerian dan agensi-agensi di peringkat Persekutuan mahupun negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan 100 Tahun Perancang Bandar di Malaysia sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2021 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Menurut beliau, indeks tersebut akan diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui peranan PLANMalaysia.

Pada masa sama, Ismail Sabri melahirkan rasa sukacita apabila KPKT melalui PLANMalaysia telah memuktamadkan dokumen RFN Ke-4.

Menurut beliau, RFN Ke-4 adalah dokumen strategik yang menggariskan dasar pembangunan spatial negara selaras dengan RMK-12.

“RFN Ke-4 telah dirangka dengan tiga Teras Pembangunan Utama, 11 Hala Tuju Strategik dan 39 Tindakan Pelaksanaan bagi memastikan Malaysia mampu menjadi sebuah negara makmur dan berdaya tahan dari segi ekonomi, alam sekitar dan keseimbangan sosial, demi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia keseluruhannya.

“Ia juga menterjemahkan komitmen negara di peringkat global seperti Agenda Perbandaran Baharu (NUA) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta berperanan menjadi instrumen penyelarasan pembangunan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Oleh sebab itu juga, katanya, RFN Ke-4 hendaklah menjadi satu rolling-plan strategik dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Berdaya Huni melalui kesemua teras yang menjadikan Keluarga Malaysia sebagai penerima manfaat utama. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI