TAQWA manusia dengan Allah bukanlah suatu perihal yang perlu diuar-uarkan dengan hidung yang tinggi. Atas alasan sebegitulah barangkali, penyanyi Aliff Aziz lebih selesa memulakan bicaranya dengan penuh rasa rendah diri.
‘Saya pun masih belajar’. Itu antara potongan ayat yang selalu setia ‘berhabitat’ di bibir pemilik nama lengkap Muhammad Aliff Aziz semasa bercakap berkaitan agama ketika diwawancara media.
Katanya, untuk berkongsi banyak perkara, dia sebenarnya masih jauh daripada mencapai sebarang kesempurnaan.
Dikurniakan rezeki untuk kembali menghayunkan buaian seninya apabila terlibat sebagai seorang daripada 13 peserta Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), Aliff percaya apa yang berlaku dalam hidupnya sekarang adalah jalan rezeki yang ditunjukkan Allah SWT.
Dahulu selalu tak puas
Kata Aliff, 30, dia sendiri tidak pernah terfikir pintu hatinya diketuk dan akhirnya menyertai jemaah tabligh selepas berdepan beberapa siri ‘episod hitam’ ketika populariti tengah menjulang.
“Kalau nak cakap tentang perkara itu, saya boleh beremosi. Saya pun tak pernah terfikir akan dapat jalan apa yang Allah tunjukkan buat saya sekarang.
“Dahulu, kita jalani kehidupan selalu tak puas hati. Nafsu untuk kita punya benda-benda yang tak dimiliki. Secara peribadi, saya nak ambil peluang memanjatkan rasa syukur atas segala nikmat yang Allah telah beri.
“Sekarang saya fikir, sebenarnya saya tak layak pun. Apa istimewanya saya sampai Allah bagi rezeki anak-anak semua sihat. Ibu bapa masih sihat walaupun usia makin lanjut dan dikurniakan isteri yang penyayang.
“Banyak benda. Saya masih boleh bergelak ketawa, masih ada masakan sedap-sedap atas meja tiap-tiap hari. Nikmat yang selama ini saya tak pernah sedari. Bila fikir balik semua itu, saya rasa sangat malu dengan Allah. Saya tiada apa-apa, banyak kelemahan tapi Allah tetapi bagi itu ini,” tuturnya yang mula belajar erti syukur atas segala perkara yang diberikan Ilahi dalam hidup.
Sehubungan itu, tiada lain yang diharapkan Aliff kecuali segala perkara yang sedang berpaksi pada radar kehidupannya sekarang berjalan dengan langkah yang konsisten dan penuh istiqamah.
“Saya minta doa daripada kawan-kawan semua agar terus istiqamah. Orang cakap, nak istiqamah itu yang paling susah dah mahal. Sekarang ini, saya masih baru belajar untuk memperbaiki diri, banyak lagi kelemahan.
“Bagaimanapun, apa yang saya boleh katakan, saya diberi rezeki Allah untuk jaga lingkungan. Saya dipertemukan dengan sahabat-sahabat yang baik, dapat belajar agama dan sebagainya.
“Sebab kita memang tak boleh nafikan yang kita sebenarnya sangat senang terpengaruh dengan keadaan. Jadi, lingkungan kawan itu sangat penting. Mereka yang akan beri kita semangat andai kita tersilap langkah,” kata pelantun lagu Sayang-Sayang itu.
Rezeki untuk keluarga
Ditebak pertanyaan bagaimana reaksi dirinya secara peribadi terutama pada saat ingin mendekatkan diri ke jalan agama, namun dibukakan jalan kembali ke dunia hiburan, Aliff melihat semua itu dari sudut yang positif.
Tuturnya, dia memuliakan niat hati agar segala apa perkara dilakukan yang bertujuan untuk membuka jalan rezeki demi keluarga tercinta.
“Saya minta doa yang baik-baik. Minta dijauhkan daripada perkara-perkara yang membuatkan saya keluar landasan mencari rezeki buat keluarga.
“Niat saya memang nak cari rezeki untuk keluarga. Lagipun dapat masuk pertandingan yang boleh buat orang ingat saya sememangnya seorang penyanyi, saya percaya itu perkara yang bagus,” katanya.
‘Kifarah buat saya’
Melanjutkan bicara, Aliff menggunakan pendekatan tidak terlalu mengambil pusing tentang apa yang orang fikirkan tentang dirinya.
Kembali disimbahi cahaya glamor dengan menyertai GV8, Aliff ternyata sudah bersedia andai berdepan kecaman khalayak.
“Satu tugas yang mustahil untuk kawal apa yang orang cakap pasal kita. Insya-Allah, kita fokus sahaja benda-benda yang positif.
“Kalau orang masih nak buka aib saya atas apa yang saya pernah buat dulu, saya anggap sahaja mungkin itu kifarah untuk saya. Saya ambil pendekatan siapa yang kurang senang atas tindakan saya sebelum ini, saya maafkan sahaja.
“Orang puji atau orang keji, saya ucap sahaja alhamdulillah. Sebab apa, sebab kita tak boleh puaskan hati semua orang tapi kita boleh kawal reaksi diri kita terhadap pandangan orang. Itu saya pegang,” luahnya.
Diajak memberi komen tentang penglibatannya dalam GV8, Aliff berkata, dia sudah menerima tawaran sebagai peserta rancangan tersebut sejak dua tahun lalu, namun tidak dapat merealisasikannya disebabkan banyak kepincangan peribadi yang berlaku sebelum ini.
“Sebenarnya, saya dapat tawaran GV dua tahun lalu, namun terpaksa tolak sebab waktu itu, saya sedang melalui fasa kehidupan yang kurang baik.
“Disebabkan kekangan masa dan sebagainya. Saya fikir memang tiada rezeki masa itu tapi sekarang, pihak Astro tawarkan lagi peluang dan saya bersedia untuk memberikan komitmen terbaik,” katanya menggulung bicara.