KUALA LUMPUR – Akibat mengetuk kaki kiri menggunakan telefon bimbit dan memulas tangan kerana berang anak perempuannya sering bermain telefon bimbit serta tidak mahu belajar, seorang bapa didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman denda itu terhadap tertuduh berusia 39 tahun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama dua bulan dan tertuduh membayar jumlah denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mengetuk kaki kiri, dahi dan memulas tangan kanan anak perempuannya yang berusia 10 tahun 11 bulan di sebuah rumah di Setapak di sini pukul 12 tengah hari pada 8 November lalu.
Berikutan pertuduhan dikemukakan mengikut mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon hukuman penjara terhadap tertuduh kerana sebagai seorang bapa, dia sepatutnya melindungi anaknya bukan mencederakannya.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda dengan alasan telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.
“Isteri saya sudah meninggalkan saya, jadi saya yang perlu menjaga anak-anak serta ibu bapa saya,” katanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa telah diketuk di bahagian kaki kirinya dengan telefon bimbit dan dipukul di kepala menggunakan batang penyapu oleh bapanya.
Selain itu, tertuduh juga telah memusingkan tangan kanan mangsa ke belakang dan hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami lebam di tangan kanan dan kaki kiri serta kesan lecetan di kepala akibat tindakan tertuduh. – K! ONLINE