PETALING JAYA – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) berkongsi tekad untuk membantu pelanggan yang memerlukan sokongan berhubung komitmen bulanan mereka melalui penawaran Program Pengurusan Kewangan dan Ketahanan (Urus) bermula kelmarin.
Permohonan dibuka sehingga 31 Januari 2022 buat pelanggan B50 dan Bank Islam akan menyediakan prapemprosesan permohonan Urus sebelum diserahkan kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk semakan dan kelulusan selanjutnya.
Setelah mengemukakan permohonan lengkap kepada AKPK, bank akan memaklumkannya kepada pelanggan melalui e-mel, sebelum AKPK menghantar e-mel kepada pemohon berhubung pelan kewangan peribadi dan status permohonan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, ketika keadaan beransur-ansur kembali normal dengan penyesuaian masyarakat kepada norma baharu, pihaknya sedar ada pelanggan yang memerlukan sokongan kewangan tambahan.
Jelasnya, Bank Islam terus menggandakan usaha untuk memastikan penyampaian perkhidmatan ke tahap yang terbaik bagi mencapai kemakmuran mampan untuk bank dan komuniti apabila negara pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik.
“Pelaksanaan Urus membolehkan Bank Islam mengurangkan kesan pandemik melalui penyediaan bantuan yang amat diperlukan kepada segmen komuniti yang paling terkesan, khususnya B50.
“Kami mempunyai pelbagai program bantuan kewangan untuk meringankan kekangan kewangan pelanggan sejak pandemik bermula dan di bawah Bantuan Pembayaran Pemulih, setakat ini, bank telah membantu lebih 142,000 pelanggan runcit serta perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd. Muazzam menambah, industri perbankan akan memperuntukkan anggaran RM1 bilion untuk membiayai kos pengurangan kos keuntungan, termasuk pengecualian keuntungan untuk pelanggan yang layak di bawah program berkenaan.
“Walau bagaimanapun, pelanggan yang tidak memenuhi kriteria Urus dinasihatkan untuk menghubungi kami bagi membincangkan pilihan pembayaran kewangan lain yang sesuai dengan keadaan kewangan mereka dan Bank Islam sedia untuk membantu,” tegasnya.