PUTRAJAYA – Barisan pemain-pemain elit negara daripada Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) bakal mewarnai Kejohanan Bolasepak Pra-U Cup 2021 yang akan berlangsung pada 20 hingga 27 November ini di AMD, Pahang.
Selain itu, pembabitan Akademi Bolasepak Felda (ABSF) dan pasukan bola sepak Universiti Malaysia (MUFT) juga antara tarikan utama menerusi kejohanan berkenaan yang dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dianggap usaha ke transformasi bola sepak Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dr. Mohd. Zabri Yusoff berkata, inisiatif itu diambil bagi memberikan ruang kepada pemain-pemain elit yang bakal bergraduan pada tahun terakhir dan berusia sekitar 17 tahun.
Katanya, peluang buat mereka untuk mempamerkan bakat dan kehebatan serta menyediakan platform terbuka untuk diintai oleh mana-mana pasukan atau kelab bagi menyambung kerjaya dalam bidang bola sepak.
“Kejohanan ini akan menjadi batu loncatan untuk mereka dipilih menyambung kerjaya sebagai pemain dan juga pelajar di Institusi Pengajian Tinggi sekiranya terdapat IPT yang berminat dengan bakat mereka.
“Secara tidak langsung akan meneruskan usaha KPT untuk melahirkan lebih ramai ‘The Thinking Athlete’ atau di sini lebih kepada ‘The Thinking Footballer’,” katanya pada majlis Pelancaran Kejohanan Pra-U Cup dan Persatuan Bola Sepak Universiti Malaysia secara dalam talian hari ini.
Pada masa sama, Mohd. Zabri berkata, KPT turut mencatat sejarah apabila turut melancarkan Persatuan Bola Sepak Universiti Malaysia (MUFA) yang telah diluluskan pendaftarannya oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) pada Jun lalu.
“Perkembangan ianya membuka lembaran baru dalam arena bolasepak negara khususnya untuk membolehkan MUFA memperkemaskan lagi struktur organisasi yang lebih tersusun, melahirkan lebih ramai tenaga jurulatih dan pengadil dalaman serta meningkatkan kualiti pemain bola sepak IPT di negara ini.
“Saya percaya sekiranya MUFA diterima sebagai ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), program pembangunan akar umbi serta urus tadbir berkaitan sukan bola sepak di peringkat IPT semakin kemas dan menjadi penyumbang utama kepada skuad kebangsaan suatu hari nanti,” tegasnya. – K! ONLINE