fbpx

Warga Pakistan dalang sindiket dokumen palsu ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang warga Pakistan dipercayai dalang sindiket pemalsuan dokumen imigresen ditahan JIM di Setapak, Kuala Lumpur.

Oleh NOR AZIAH MAT NOH

KUALA LUMPUR – Dalang sindiket pemalsuan dokumen imigresen tumpas dengan penahanan seorang lelaki warga Pakistan dalam satu operasi khas di sebuah kondominium mewah di Setapak, di sini 12 November lalu.

Suspek warga Pakistan berusia 37 tahun itu ditahan dalam operasi penguatkuasaan dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah premis dimana satu bilik dijadikan sebagai makmal penghasilan pelbagai jenis dokumen palsu untuk warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menemui set peralatan komputer, mesin pencetak kad, pelbagai jenis cap perwakilan asing dan lain-lain peralatan untuk digunakan dalam aktiviti haram itu.

“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai pelekat-pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), lesen memandu Malaysia dan visa negara asing siap dicetak dan disusun rapi dipercayai sedia untuk diserahkan kepada pelanggan.

“Turut dijumpai adalah stok pelekat yang masih kosong dan wang tunai berjumlah RM13,710 disyaki hasil jualan dokumen palsu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, soal siasat terhadap suspek telah membawa pasukan operasi ke sebuah kondominium lain di Jalan Genting Kelang yang turut disewa untuk kegiatan itu.

“Pemeriksaan di premis tersebut telah menjumpai cap-cap Pas Lawatan Sosial (PLS) dan lain-lain cap rasmi JIM palsu yang digunakan untuk pemalsuan dokumen.

“Suspek juga dikesan menyewa beberapa kondominium mewah yang mempunyai akses terhad serta kawalan keselamatan ketat bagi menyukarkan siasatan dan dihidu pihak berkuasa,” ujarnya.

Jelasnya, suspek yang menjalankan kegiatan haram sejak tahun lepas akan mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap pelekat PLKS bergantung kepada kualiti yang dikehendaki oleh pelanggan selain bayaran sebanyak RM50 turut dikenakan bagi lesen memandu palsu.

“Kegiatan haram ini telah menyebabkan kerugian hasil kerajaan khususnya dalam bentuk bayaran levi pekerja asing hingga mencecah jutaan ringgit.

“Sindiket itu menggunakan modus operandi dengan menggunakan PLKS sebuah syarikat pembersihan sebagai lesen untuk suspek bergerak bebas bagi menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang ini,” ujarnya.

Jelas Khairul Dzaimee, suspek akan ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut dan kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan menghasilkan dokumen palsu dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan melanggar syarat pas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI