KUANTAN – Seorang warga emas maut selepas lori yang dipandunya terbabas dan terbalik dalam parit di kawasan Lombong Gagak Sungai Rimau di Sungai Lembing, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu berlaku ketika mangsa, Juma’at Sulaiman,74, dalam perjalanan ke lombong bijih timah berkenaan bagi memindahkan hasil galian.
“Apabila sampai di tempat kejadian ketika sedang melalui selekoh bukit yang menurun, tiba-tiba dipercayai pemandu lori hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan lalu masuk ke dalam parit lalu terbalik.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu lori yang cedera parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan dan siasatan masih giat dilakukan.
Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan jalan berselekoh dengan permukaan jalan curam dan semasa kejadian permukaan jalan adalah kering.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian pemandu lori yang gagal mengawal kenderaan ketika memandu,” ujarnya. -K! ONLINE