KUALA LUMPUR – Tiga lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan di Bulatan Sultan Mohamad, di sini pada awal pagi Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku lebih kurang pukul 3.15 pagi di Bulatan Sultan Mohamad melibatkan tiga buah kenderaan jenis Proton Saga, Proton X70 dan Perodua Aruz.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika kereta jenis Perodua Aruz yang dipandu mangsa berusia 21 hingga 24 tahun itu sedang dalam perjalanan menuju ke Bulatan Sultan Mohamad dari arah Jalan Syed Putra.
“Sampai di tempat kejadian, kenderaan itu telah melanggar kenderaan Proton Saga yang datang dari arah yang sama lalu terbabas ke laluan bulatan dan melanggar kenderaan Proton X70 yang datang dari arah Dataran Merdeka melalui laluan bulatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, akibat daripada kemalangan itu, pemandu kenderaan Perodua Aruz telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua orang rakannya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan, Hospital Besar Kuala Lumpur pada hari yang sama.
“Manakala pemandu kenderaan Proton Saga dan Proton X70 tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana- mana balai Polis berhampiran,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 23 saat yang memaparkan kemalangan jalan raya tersebut. – K! ONLINE