fbpx

Stok daun ketum dari Kedah, tiga lelaki ditangkap polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Daun ketum seberat 680 kilogram yang baharu sahaja di ambil dari Kedah berjaya dirampas dalam dua tangkapan berasingan di Taman Desa Penarikan Bahau, di sini, malam tadi.

JEMPOL – Tiga lelaki yang dipercayai baharu sahaja mengambil stok daun ketum dari Kedah berjaya ditangkap polis dalam dua pemeriksaan berasingan di Taman Desa Penarikan, di sini, malam tadi.

Daun ketum yang dibungkus dalam beg plastik berwarna hitam itu dengan berat keseluruhan sebanyak 680 kilogram (kg) tidak sempat untuk diproses menjadi air ketum untuk pasaran setempat.

Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, tangkapan pertama kira-kira pukul 8 malam oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah dibantu NS 87 membabitkan dua lelaki di tepi jalan besar.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori jenis Hicom yang dipandu lelaki berusia 32 tahun bersama temannya berusia 36 tahun mendapati terdapat 37 beg plastik hitam setiap satu terdapat 50 bungkus plastik lutsinar mengandungi daun ketum seberat 250 kg.

“Selain itu terdapat, ditemui juga 30 beg plastik hitam setiap satu mengandungi daun ketum seberat 270 kg. Kedua-dua daun ketum berkenaan bernilai RM5,200,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Chang Hock berkata, tangkapan kedua pula pada pukul 8.15 malam membabitkan seorang lelaki berusia 27 tahun di hadapan sebuah rumah di Taman Desa Penarikan, Bahau.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat daun ketum yang dibungkus dalam beg plastik hitam, beg berzip warna merah, beg berzip warna hitam yang di dalamnya terdapat plastik lutsinar berisi dedaun disyaki daun ketum.

“Dianggarkan daun ketum dengan jumlah keseluruhan seberat 160 kilogram berkenaan bernilai RM1,600. Dalam pemeriksaan ini, polis merampas sebuah pacuan empat roda jenis Hilux.

“Dipercayai suspek ini mula membabitkan diri dalam aktiviti ketum sejak bulan Julai lalu.

Menurutnya, ujian urin ke atas kesemua suspek bagaimanapun negatif.

“Dalam tangkapan ini, hanya pemandu lori sahaja mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

“Kesemuanya akan direman bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI