Oleh HARRITH HISHAM
PETALING JAYA – Tular di media sosial beberapa gambar dipercayai di kawasan persekitaran jalan masuk ke Teluk Senangin, Manjung, Perak dipenuhi longgokan sampah.
Gambar yang ‘mencacatkan’ pemandangan itu telah dikongsi di laman Facebook @ViralPerak yang memaparkan keadaan di lokasi terbabit dipenuhi sampah dan sisa makanan yang tidak diletakkan di tempat yang disediakan malah berselerak.
“Kalau datang mandi kat sini atau mana-mana pantai, tolong bawa plastik sampah”, kata Viral Perak pada hantarannya.
Susulan perkongsian tersebut, rata-rata pengguna laman sosial meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir pengunjung yang tidak prihatin terhadap alam sekitar.
“Mentaliti masyarakat memang susah nak didik”, tulis Syazlie Abd Kudus di ruangan komen.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Zarif Zulkarnain yang memberi cadangan agar dikenakan kompaun bagi sesiapa yang meninggalkan sisa sampah.
“Kalau begini sebelum masuk kenakan bayaran untuk kutip sampah. Sesiapa yang didapati meninggalkan kawasan ada sisa sampah, kenakan kompaun”, katanya.
Selain itu, Mhd Nor Othman juga meninggalkan pesanan supaya orang ramai jangan cepat membuat spekulasi kerana mungkin semua sampah sudah dibuang tetapi diusik oleh monyet dan beruk.
“Jangan cepat melatah, mungkin pelawat semua dudah buang di dalam tong sampah. Monyet dan beruk semua dah masuk U,” katanya. – K! ONLINE