PETALING JAYA – Sehari selepas bergelar suami kepada wanita asal Kota Bharu Kelantan, Farra Inalis Hussni, nama penyanyi rap sensasi Caprice terus menjadi topik hangat dalam kalangan netizen.
Bukan hanya realiti jodoh memperisterikan seorang wanita yang lahir di negeri Cik Siti Wan Kembang menjadi usikan dalam gelanggang media sosial, ramai dalam kalangan peminat turut mempertikaikan aurat isterinya yang baru dikahwininya itu.
“Semoga isteri Caprice tutup aurat dengan sempurna. Rapatkan saf ummah,” coret seorang netizen menerusi ruangan kapsyen entri terbaharu yang dimuat naik pelantun lagu Lenglui itu.
Selari dengan dakwah Caprice atau nama lengkapnya, Ariz Ramli, 33, yang ligat memperjuangkan agama Islam di mata dunia, ramai netizen mempersoalkan tindakannya memperisterikan seorang wanita yang berpenampilan seksi sekali gus bersifat ironi dengan apa yang diperjuangkannya selama ini atas nama agama.
Pun begitu, ramai mendoakan agar Caprice berjaya membimbing isterinya ke jalan yang lebih diredai Allah SWT.
“Aduh, bukan dia punya tema macam islamik ke? Rupa-rupanya sama sahaja. Lelaki tugasnya membimbing. Selamat maju jaya, bro (ditujukan kepada Caprice),” tulis seorang netizen lain.
Dalam pada itu, menerusi Twitter, meletus situasi ‘perdebatan’ yang mempersoalkan tindakan Caprice seperti cakap tidak serupa bikin.
Masakan tidak, sebelum ini dia acap kali dilihat bersikap lantang mengkritik orang kelahiran negeri Kelantan menerusi video-video yang dimuat naik dalam Instagramnya.
Ternyata, jodoh itu satu rahsia Allah yang tiada siapa dapat menduga. Dia bertemu jodoh dengan seorang wanita asal dari Kota Bharu, Kelantan.
Seorang pengguna Twitter memuat naik ciapan yang memberi gambaran bahawa dalam kehidupan, jangan terlalu membenci, kelak terpaut hati.
“Sebab itu jangan terlalu benci, nanti lama-lama suka,” ciap pengguna Twitter tersebut seraya berkongsi tangkap layar beberapa video Caprice ‘tidak sebulu’ dengan masyarakat Kelantan namun akhirnya bertemu jodoh dengan salah seorang wanita berasal dari negeri berkenaan.
Semalam, Caprice membuat kejutan apabila berkahwin tanpa sebarang hebahan media dengan seorang ibu tunggal anak satu bernama Farra Inalis yang berusia 26 tahun.
“Saya mohon maaf kepada semua pihak kerana terpaksa ‘menghilangkan diri’ selama 40 hari.
“Selepas apa yang berlaku, saya berjanji akan menceritakan segala perkara yang terjadi sepanjang tempoh berkenaan,” coretnya dalam satu muat naik status terbaharu dalam Instagram.
Lokasi pernikahan yang berlangsung sekitar pukul 5 petang semalam (Isnin) menunjukkan majlis telah diadakan di Tanamekar The Hills, Petaling Jaya, Selangor.
Menerusi akaun sama, penyanyi yang aktif sebagai penceramah motivasi itu tidak ketinggalan berkongsi video ketika memilih cincin sehari sebelum pernikahan.
Terdahulu, gambar Caprice mengenakan baju Melayu rona putih lengkap bersongkok dan samping sedondon dengan pasangannya yang anggun berkerudung di atas pelamin tersebar dalam laman sosial.
Perkongsian tersebut dimulakan oleh pemilik akaun @yasserpink menerusi Instastory sebelum diulang siar penyanyi Azira Shafinaz dan pembantu peribadi usahawan tersebut, Aiman Munier.
Menerusi perkongsian berkenaan, paparan momen manis itu hanya tertulis ‘Tahniah’ disertakan tag nama akaun kedua-dua individu terbabit, @capriceofficial dan @farra_inalis.
Farra yang sebelum ini berstatus ibu tunggal anak satu tidak ketinggalan memuat naik beberapa video sebelum melangkah ke gerbang pernikahan.
Usahawan dan Instafamous berkenaan mempunyai seorang cahaya mata perempuan, Aleesya Sofea daripada perkahwinan terdahulu dan mendedahkan sudah enam tahun bergelar ibu tunggal. – K! ONLINE