LISBON – Pengendali Portugal, Fernando Santos percaya pasukannya tetap akan mara ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar biarpun mereka terlepas untuk layak secara automatik apabila tewas 1-2 kepada Serbia di Estadio Da Luz awal pagi semalam.
Jaringan penyerang Serbia, Alesandar Mitrovic menerusi tandukan pada minit ke-90 menyaksikan pasukan itu merampas slot automatik ke pusingan akhir, meninggalkan Portugal di kedudukan kedua Kumpulan A.
Biarpun peluang Portugal untuk ke Qatar tahun depan belum tertutup, mereka terpaksa mengharungi aksi playoff untuk mengesahkan tempat biarpun mereka hanya memerlukan keputusan seri menentang Serbia untuk mara.
Pada aksi berkenaan, Renato Sanches meletakkan Portugal di hadapan sebelum pemain tengah Serbia, Dusan Tadic menyamakan kedudukan dan Mitrovic muncul pemusnah harapan tuan rumah, menerusi gol pada penghujung perlawanan.
“Ia kelihatan seperti kami sudah hampir tetapi akhirnya terlepas. Kami menjaringkan gol pembukaan tetapi kemudian kami menjadi terlalu longgar.
“Para pemain cuba untuk kembali mengatur semula perlawanan tetapi tidak berjaya. Serbia bermain dengan baik dan memberikan kami kesukaran untuk mencipta banyak peluang.
“DNA bola sepak kami adalah menguasai bola tetapi saya lihat kami terlalu berhati-hati dan berdepan masalah ketakutan pada aksi berkenaan. Saya mengambil tanggungjawab ekoran kekalahan ini.
“Bagaimanapun, saya berani jamin bahawa kami akan berada di Qatar nanti. Kami terlepas untuk layak lebih awal tetapi kami pasti akan layak,” kata Santos.
– AGENSI