PETALING JAYA – Peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dalam tempoh tujuh hari kebelakangan ini terdiri daripada mereka yang belum menerima suntikan vaksin dan belum lengkap divaksin.
Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, selain itu, individu yang sudah melengkapkan dua dos vaksin dan mempunyai komorbid turut menyumbang kepada peningkatan bilangan tersebut.
“Walaupun Malaysia telah mencapai lebih 90 peratus kadar vaksinasi penduduknya, namun masih ada yang belum mengambil vaksin terutamanya golongan kanak-kanak bawah 12 tahun.
“Golongan ini terdedah kepada persekitaran yang tidak sihat termasuk dijangkiti Covid-19. Selain itu, ada juga pesakit yang lengkap divaksin tetapi mempunyai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung menyebabkan mereka cenderung untuk dijangkiti,” katanya
Dr. Sharifa memberitahu, secara keseluruhannya, mereka yang dirawat di hospital adalah terkawal dan berada dalam kategori satu serta dua.
Tambah beliau, tahap imuniti penerima vaksin akan berkurang antara tiga hingga enam bulan dos kedua dan pengambilan dos penggalak amat digalakkan kerana mampu meningkatkan keberkesanan sehingga 95 peratus.
Menurut data laman web CovidNow, secara keseluruhannya, kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital di negara ini meningkat tujuh peratus dan orang ramai perlu lebih peka dengan pematuhan prosedur operasi standard dan mengikuti saranan Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam pada itu, kenyataan sama turut disokong Pakar Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani yang memberitahu, dos penggalak sangat penting dan perlu dihebahkan secara meluas kepada masyarakat mengenai kepentingan serta manfaatnya.
Menurut data yang dikongsikan oleh KKM, keberkesanan penerima vaksin dos penggalak jenis Pfizer meningkat daripada 54 peratus kepada 95 peratus melebihi keberkesanan dos penggalak AstraZeneca dan Sinovac.