KUANTAN – Video tular yang memaparkan pesakit Covid-19 dibawa menaiki bas di Cameron Highlands baru-baru ini merupakan prosedur pemindahan biasa pesakit Covid-19 ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, setakat ini Pejabat Kesihatan Cameron Highlands tidak menerima sebarang notifikasi kes Covid-19 dalam kalangan pelancong untuk pengesanan kontak susulan daripada kejadian itu.
“Notifikasi untuk tindakan pengesanan kontak yang diterima setakat ini adalah melibatkan kontak keluarga dan bukannya pelancong.
“Sehingga 16 November lalu kes aktif di Cameron Highlands adalah sebanyak 77 kes melibatkan 17 kes import dan selebihnya adalah kes tempatan dan status Covid-19 di daerah Cameron Highlands terkawal dengan dua mukim berstatus jingga (Tanah Rata dan Ulu Telom) dan satu mukim berstatus kuning (Ringlet),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kejadian yang tular berkenaan berlaku pada 9 November lalu yang mana hanya sembilan pesakit positif Covid-19 dibawa menggunakan bas ke PKRC di Maran dan Kuantan.
Jelasnya, kesemua sembilan pesakit terbabit perlu dimasukkan ke PKRC kerana situasi rumah mereka yang kurang sesuai untuk menjalani kuarantin kendiri serta pesakit terbabit terdiri daripada golongan kanak-kanak dan pesakit komorbid.
Sementara itu Nor Azimi berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang meminta masyarakat sentiasa patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan meskipun telah lengkap dos vaksinasi serta dibolehkan untuk bersosial seperti melancong dan merentas negeri.
Ujarnya pematuhan SOP penting dalam mengekang penularan wabak Covid-19 yang masih belum berakhir dan sebagai antara usaha memutuskan rantaian Covid-19. -K! ONLINE