Oleh LIYANA RAMLI
IPOH – Semua warga sekolah terutamanya pelajar dan guru-guru dinasihati agar menjaga pematuhan (SOP) sebaiknya apabila sesi persekolahan bermula tidak lama lagi.
Pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan di Perak bermula 22 November ini mengikut ketetapan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Dr. Mohd. Suhaimi Mohamed Ali berkata, pihaknya juga berpuas hati dengan persediaan yang dilakukan pihak pengurusan sekolah.
“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh pihak sekolah bagi persediaan pembukaan sekolah Isnin depan.
“Semua sekolah telah bersedia untuk beroperasi semula dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pejabat Baharu Koperasi Guru-Guru Sekolah Malaysia (KGSM) Berhad (Bhd) di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi KGSM, Muslim Ahmad.
Pengoperasian sesi persekolahan di negeri ini melibatkan kehadiran murid darjah satu hingga enam di sekolah rendah serta kelas peralihan dan tingkatan satu hingga empat di sekolah menengah. -K! ONLINE