KOTA BHARU – Seorang suri rumah tidak dapat menahan sebak setiap kali mengenangkan nasib anak bongsunya berusia setahun empat bulan yang menghidap penyakit atrofi otot spina atau Spinal Muscular Atrophy (SMA) sejak dilahirkan.
Lebih menyedihkan buat Nik Nurul Shuhada Nik Soh @ Yusoff, 27, apabila simptom dialami Muhammad Arraz Waiz Saiful Shahrin itu sama seperti penyakit abang sulungnya, Muhammad Haraz Naufal yang dilahirkan pada 2017, sebelum meninggal dunia ketika berusia dua bulan.
Menurut Nik Nurul Shuhada, keadaan Muhammad Arraz Waiz ketika ini amat kritikal apabila dia terpaksa bergantung kepada mesin oksigen untuk bernafas setiap masa.
Ujarnya, penyakit yang dialami anaknya itu juga menyebabkan doktor terpaksa menebuk bahagian tengkuk untuk memudahkan pernafasan.
“Selain itu, bahagian perut Muhammad Arraz Waiz juga terpaksa ditebuk untuk saluran susu sejak tiga bulan lalu.
“Dia juga perlu diberi susu setiap tiga jam sekali atau tujuh kali sehari kerana itu sahaja yang boleh memberi tenaga kepadanya buat masa ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Panji di sini semalam.
Nik Nurul Shuhada berkata, dia dan suami, Saiful Shahrin Salleh, 28, akan bergilir-gilir menjaga Muhammad Arraz Waiz yang memerlukan penjagaan rapi terutamanya aspek pernafasan.
Menyentuh mengenai kos penjagaan Muhammad Arraz Waiz, Nik Nurul Shuhada berkata, anaknya itu memerlukan perbelanjaan sebanyak RM1,200 sebulan untuk membeli keperluan termasuk susu khas.
“Suami hanya berniaga menjual pakaian terpakai secara dalam talian dan memperoleh pendapatan sebanyak RM1,000 hingga RM1,500 sebulan. Selain itu, Muhammad Arraz Waiz juga memperoleh bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM250,” katanya.
Menurut Nik Nurul Shuhada, Muhammad Arraz Waiz perlu mendapatkan pemeriksaan pakar pernafasan dan saraf di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini sebulan sekali.
Ujarnya, selain itu, dia juga membawa anaknya itu bertemu pakar neurologi untuk merawat sistem saraf di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini sebagai ikhtiar untuk merawat
Muhammad Arraz Waiz.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan bantuan kepada akaun Maybank Nik Nurul Shuhada, 156094354489 atau hubunginya di talian 013-918 1660.