KETUA jurulatih skuad Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak mengakui puas menyaksikan pasukannya berjaya merentap ego juara 33 kali, Selangor FC dengan kemenangan 2-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia kelmarin.
Pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya itu, skuad Warga Kota tidak mempunyai masalah untuk melakar kemenangan hasil jaringan Romel Morales pada minit ke-14 dan Hadin Azman (m-82).
Kata Hodak, keputusan yang diraih itu telah memastikan pasukannya meletak ‘sebelah kaki’ ke pentas separuh akhir tetapi dalam masa yang sama menyeru agar barisan pemain tidak mendabik dada kerana apa sahaja boleh berlaku di pentas suku akhir kedua nanti.
“Saya gembira dengan apa yang pemain tampilkan pada aksi kali ini kerana mereka mendengar setiap arahan taktikal yang saya terapkan dan berjaya mengekang pasukan lawan daripada meraih sebarang gol.
“Tidak keterlaluan untuk saya katakan keputusan ini meletakkan pasukan sebelah kaki melangkah ke pentas separuh akhir tetapi dalam masa yang sama saya tidak mahu pemain menjadi terlalu yakin.
“Ini kerana masih ada 90 minit perlawanan dan saya lebih suka ingatkan pasukan agar menganggap keputusan kali ini adalah seri 0-0 meskipun secara realiti kami melakar kemenangan 2-0,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.
Sementara itu, pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel mengakui pasukannya banyak mensia-siakan peluang selain ketiadaan beberapa tonggak utama menjadi punca kegagalan memanfaatkan kelebihan aksi di laman sendiri.
“Sukar untuk kami memberi saingan tanpa kehadiran beberapa pemain tonggak seperti Ifedayo Olusegun, Safuwan Baharuddin dan Brendan Gan. Kita boleh lihat jurang kualiti antara KL City dengan kami agak berbeza.
“Selain itu, kegagalan pemain memanfaatkan peluang terhidang juga menghukum pasukan, manakala pasukan lawan telah menggunakan dua peluang mereka sebaiknya dengan penyudah berbisa daripada Romel dan Hadin,” katanya.
Aksi suku akhir kedua dijadualkan berlangsung di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis ini.