KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) pernah mengarahkan Datuk Seri Najib Tun Razak agar tidak bercakap banyak kepada wakil sebuah firma audit ketika memberi penjelasan berhubung pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar negara.
Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, 48, berkata, wakil KPMG itu mengunjungi bekas Perdana Menteri di kediamannya pada 15 Disember 2013 khususnya bagi mendapat penjelasan beliau sendiri berhubung pelaburan oleh Brazen Sky Limited di luar negara.
Saksi pendakwaan ke-12 tersebut berkata, arahan agar Najib tidak bercakap banyak itu dinyatakan dalam emel yang diterima (saksi) daripada Jho Low yang bertindak mengatur strategi menjawab soalan-soalan KPMG ketika pertemuan itu berlangsung.
Menurut Azmi, Jho Low malah mahukan Najib sendiri mengungkapkan bahawa beliau telah diberi penerangan dan mengetahui segala pelaburan dan transaksi dalam 1MDB serta dokumen yang disediakan.
Ujarnya, Jho Low juga mengarahkan bekas Perdana Menteri menyatakan keyakinan beliau terhadap Bank BSI berdasarkan fakta yang diberi.
Azmi turut berkata, Najib diarah memberikan pandangan 1MDB bahawa pelaburan Brazen Sky Limited telah diurus oleh `pengurus dana’ yang dilesenkan oleh Cayman Islands Monetary Authority dan juga Hong Kong Securities Futures Commission.
Ujarnya, pelaburan itu turut disahkan oleh pelbagai pihak dan agensi bebas terkemuka seperti Vistra Fund Services dan Citco Global Custody.
Menurut saksi, walaupun beliau berjawatan CFO di 1MDB manakala urusan audit di bawah bidang kuasanya, Jho Low yang mengatur segala dokumentasi dan butiran penerangan kepada Najib untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh KPMG.
Menurut saksi, dalam pertemuan tersebut, Najib turut memperoleh emel yang sama daripada Jho Low manakala perkara-perkara yang digariskan dalam emel itu telah dibincangkan dengan wakil KPMG, Datuk Johan Idris.
Ujarnya, Najib ketika ditanya oleh Johan berhubung pelaburan Segregated Portfolio Company (SPC) di Cayman Islands, beliau mengetahui pelaburan oleh Brazen Sky Limited di SPC.
Ketika membacakan pernyataan saksi, Azmi turut menyatakan, Najib meminta kepastian mengapa KPMG syak wasangka berkenaan aset asas pelaburan tersebut walhal Bank BSI sendiri telah menunjukkan penyata pelaburan.
Mahkamah sedang mendengar perbicaran kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi oleh bekas Perdana Menteri.
Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – K! ONLINE