SENTIASA peka dengan aliran semasa, TV AlHijrah mengambil langkah berani mengetengahkan pertandingan nyanyian realiti selari dengan tuntutan syarak yang dinamakan Hijrahkan Laguku.
Pertaruhan stesen televisyen berkenaan diilhamkan bersesuaian konsep dakwah yang lebih kreatif mengikut peredaran zaman menerusi lagu sebagai penyampaian mesej.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, pemilihan lapan penyanyi lama dan baharu bersama seleksi dendangan popular yang digubah semula kepada lagu dakwah mampu mencapai matlamat berkongsi pengisian bermanfaat.
“Kami berharap Hijrahku Laguku bakal menjadi fenomena yang mampu membentuk masyarakat serta memberikan impak kepada pembangunan jiwa ummah.
“Simbiosis kukuh antara manusia dan seni muzik tidak dapat dinafikan. Manusia secara fitrah mudah tertarik kepada bunyi-bunyian menenangkan jiwa ditambah suntikan seni persembahan yang memberi kedamaian.
“Program Hijrahkan Laguku mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri dalam memenuhi kehendak jiwa manusia yang menyukai muzik tetapi ditambah elemen hiburan islamik serta wasilah dakwah kontemporari,” katanya ketika majlis pelancaran program.
Bakal berlangsung setiap Sabtu bermula 20 November ini bersama tema Journey Back To Him, program berkenaan disertai Datuk Nash Lefthanded, Iwan Shahman, Mark Adam, Pengeran Adam, Zaf VE, Shahir Zawawi, Zack Kool dan Rahmad Mega.
Mengenai pemilihan penyanyi, Namanzee berkata, mereka dinilai berdasarkan beberapa syarat dan kriteria yang ditetapkan stesen.
Antaranya memperincikan perkara utama termasuk kisah penghijrahan mereka yang unik sehingga mampu membawa individu terbabit menjadi insan lebih baik.
“Selain aura serta karisma peserta, setiap daripada seorang mempunyai kisah hijrah yang tersendiri sekali gus membuka mata kita mengenai pengalaman dilalui mereka.
“Pemilihan lagu yang akan digubah lirik dan dinyanyikan semula pula terpulang kepada masing-masing kerana kami yakin pengalaman mereka dalam bidang seni dapat membantu untuk tampil bersama dendangan segar.
“Apa pun kami menjangkakan maklum balas memberangsangkan daripada penonton memandangkan Hijrahkan Laguku boleh dikatakan pertandingan pertama seumpamanya diadakan.
“Pengisian lain, terutama dari segi drama dan sebagainya, nantikan saja.
“Walaupun di kalangan penonton akan menyangka rancangan ini tidak dapat lari daripada suntikan hiburan, ia mungkin bukan dibuat-buat,” katanya lagi.
Sementara itu, ganjaran hadiah bagi Hijrahkan Laguku yang dikendalikan Faizal Ismail dan Bell Ngasri itu bakal diumumkan pada pertengahan pertandingan.