MUNGKIN tidak ramai orang yang mencuba dan terus berjaya kerana adakalanya kegagalan menjadi pintu pertama untuk menemui kejayaan.
Demikianlah yang berlaku kepada juara dunia sembilan kali Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Valentino Rossi yang mengakhiri kariernya selama 26 tahun di litar lumba selepas menyertai GP Valencia kelmarin.
Siapa sangka, kegagalannya menyertai perlumbaan go-kart akibat masalah kewangan sewaktu kecil membawanya menjadi seorang legenda dan ikon sukan permotoran yang tidak ada tolok bandingnya.
Anda boleh menamakan sesiapa jua yang mungkin dirasakan mempunyai gaya tunggangan, kesungguhan atau mampu menandingi pencapaiannya tetapi Rossi adalah Rossi dan menyamakannya dengan sesiapa juga adalah ibarat melakukan perkara sia-sia.
Perlumbaan di Litar Ricardo Tormo kelmarin menjadi aksi terakhir seluruh peminat dapat menyaksikan Rossi bertarung kerana selepas ini tiada lagi kelibat The Doctor apabila pada usia 42 tahun, dia membuat keputusan untuk meninggalkan perkara yang paling disukainya itu.
Beberapa tahun lalu, Rossi pernah diajukan soalan mengenai persaraannya dan ketika itu dia memberitahu bahawa tidak tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya bersara kerana hidupnya hanyalah di litar dan berlumba.
Sepanjang karier selama tiga dekad, Rossi telah mencapai sembilan kejuaraan dunia bermula 1997 dalam kelas 125cc dan kemudian mengecapai gelaran dunia kedua pada 1999 dalam kelas 250cc.
Rossi terus mencipta kegemilangan dalam kariernya apabila tampil cemerlang ketika diberi peluang beraksi dalam kelas perdana pada tahun 2000 apabila muncul naib juara bersama pasukan Honda.
Dia tidak menunggu lama apabila setahun kemudian, jaguh Itali itu muncul juara dunia ketika menggunakan jentera 500cc (2001) dan juara dunia dalam kelas baharu MotoGP pada 2002, 2003 dan 2004 bersama Honda.
Selepas itu, Rossi terus menjuarai empat lagi gelaran juara dunia MotoGP bersama Yamaha (2004, 2005, 2008, 2009) selepas menyertai pasukan dari Jepun itu pada 2004.
Mengimbas detik manis itu, kejayaan Rossi pasti tidak akan hadir tanpa bantuan sang ayah iaitu Graziano Rossi yang juga merupakan seorang bekas pelumba motosikal kelas 500cc.
Penglibatan Rossi dalam perlumbaan bermula selepas bapanya itu memperkenalkan sukan go-kart dan mula berjinak menceburi sukan tersebut ketika usia 4 tahun.
Pada usia 11 tahun, Rossi sudah memenangi kejuaraan go-kart serantau pada 1990 dan 1991 dan menamatkan perlumbaan tempat kelima pada kejohanan kebangsaan Itali di Parma.
Melihat bakat anaknya itu, Graziano kemudian cuba membawa Rossi lebih jauh dalam perlumbaan berkenaan tetapi faktor kos yang terlalu tinggi dan kekangan kewangan menyebabkan hasrat dua beranak itu tidak kesampaian.
Bermula dengan kekecewaan tersebut Graziano dan Valentino mula mengubah haluan mereka dengan berjinak-jinak dalam perlumbaan mini moto dan sejak itu kedua-dua mereka sudah tidak menoleh ke belakang lagi.
Rossi akan diingati sebagai salah seorang pelumba motosikal terhebat dalam sejarah sukan permotoran menerusi sembilan gelaran dunia termasuk meraih 89 kemenangan, 199 podium, 55 petak pertama, 76 pusingan terpantas dan meraih lebih 5,000 mata sepanjang kariernya.
Sepanjang 25 tahun di litar, pelumba Itali itu mempunyai beberapa saingan hebat seperti, Max Biaggi, Sete Gibernau, Casey Stoner, Jorge Lorenzo dan Marc Marquez selain pelbagai drama berlaku melibatkan persaingan mereka ketika di litar.
Kejayaan Rossi juga seakan tidak lengkap tanpa individu-individu yang setia bersamanya sama ada ketika era kegemilangan dan fasa kemerosotan seperti ketua mekaniknya, Jeremy Burgess dan beberapa kru lain seperti Alex Briggs, Gary Coleman dan Bernard Ansiau.
Grazie (terima kasih) Vale untuk tempoh 25 tahun hadir menyerikan perlumbaan dua roda paling berprestij di dunia.