KUANTAN – Seorang lelaki didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan di sini atas kesalahan menggunakan peralatan komunikasi radio marin jenama Superstar model SS-39 yang tidak diperakui tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Yap Aik Seng, 58, mengaku bersalah menggunakan kelengkapan komunikasi tidak diperakui sebagaimana yang dikehendaki Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jarak 14 batu nautika dari Kuala Rompin, pukul 10.45 pagi pada 3 Julai 2015.
Dia didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dibaca bersama Peraturan 16(3) yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan sama.
Bagi kesalahan ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Sementara itu, ketika prosiding, Aik Seng yang diwakili peguam Norazmi Kasani merayu agar mahkamah mengenakan hukuman denda paling minimum bagi kesalahan tersebut dengan alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd. Zameri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda setimpal terhadap tertuduh.
Mohd. Kafli memutuskan denda RM6,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. – K! ONLINE