KANGAR – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri seekor burung kakaktua di sebuah rumah di Taman Bunga Angsana, Beseri dekat sini pada Sabtu lalu.
Tertuduh, Mohd. Amizad Marodzi, 44, yang bekerja sebagai buruh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Kamaliza Md. Zain.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada empat orang anak itu didakwa mencuri seekor burung kakaktua jenis African Grey Parrot dengan nombor penandaan milik Mohd. Faiz Jaafar, 35, di Jalan Angsana 5, Taman Bunga Angsana kira-kira pukul 4 pagi, Sabtu lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya
Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan penjara dan denda atau sebatan. – K! ONLINE