PUTRAJAYA – Tiada gangguan minyak masak polibeg 1 kilogram (kg) di peringkat pengeluaran dan pengedaran seperti mana didakwa berlaku di daerah Timur Laut dan Barat Daya, Pulau Pinang akhir-akhir ini.
Pengarah, Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis runcit di kedua-dua daerah berkenaan dan mendapati bekalan minyak masak mencukupi di pasaran.
Beliau berkata, isu kekurangan bekalan minyak masak 1 kg polibeg bersubsidi itu dibangkitkan kerana keinginan peniaga, peniaga kecil dan pengusaha makanan yang mahu membuat pembelian secara pukal atau dalam kuantiti yang banyak.
“Pengguna juga diminta akur kepada had pembelian supaya lebih ramai isi rumah domestik dapat menikmati minyak masak bersubsidi polibeg 1 kg.
“Peniaga pula diminta untuk mematuhi arahan untuk memastikan had pembelian serta pembelian hanya untuk isi rumah domestik dan bukannya peniaga, peniaga kecil dan pengusaha kedai makan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azman berkata, KPDNHEP Pulau Pinang telah menjalankan pemeriksaan ke atas 24 syarikat pembungkus yang membekalkan sejumlah 3.434 juta kilogram minyak masak bersubsidi (3.4 juta paket polibeg 1 kg) setiap bulan di Pulau Pinang.
Menurutnya, sejumlah 1.9 juta kilogram minyak masak bersubsidi paket polibeg 1 kilogram telah diedar kepada pasaraya dan peruncit untuk kegunaan isi rumah domestik di seluruh Pulau Pinang dengan baki berjumlah 1.5 juta kg akan diedarkan pada bulan ini.
Menurutnya, tiga daripada 24 syarikat pembungkus adalah beroperasi di George Town dengan kuota pengeluaran sebanyak 247,000kg setiap bulan bagi kegunaan isi rumah domestik di daerah Timur Laut dan Barat Daya, Pulau Pinang. – K! ONLINE