LIVERPOOL – Bintang sensasi Liverpool, Mohamed Salah kini menjadi sasaran utama ketua jurulatih Barcelona, Xavi dalam usaha menguatkan pasukannya selepas ini.
Difahamkan, Xavi telah memberitahu Presiden Barcelona, Joan Laporta supaya membeli Salah dengan apa cara sekalipun apabila jendela perpindahan kembali dibuka pada Januari depan.
Legenda The Catalan itu melihat pemain sayap lincah berkenaan sebagai pengganti terbaik mengisi kekosongan ditinggalkan Lionel Messi yang kini beraksi dengan Paris Saint-Germain.
Xavi, 41, juga merasakan kehadiran Salah mampu memastikan Barcelona kembali mencabar terutama dalam saingan La Liga sekiranya musuh tradisi mereka, Real Madrid berjaya membeli Kylian Mbappe pada Januari depan.
“Salah boleh dikatakan berada dalam kelompok 10 pemain terbaik di dunia berdasarkan prestasi hebatnya bersama Liverpool,” kata Xavi.
Peluang Xavi tidak dilihat mustahil memandangkan The Reds ketika ini masih gagal meyakinkan Salah untuk menandatangani perjanjian lanjutan baharu kerana kontraknya akan berakhir pada 2023.
Jika Salah terus enggan berbuat demikian, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tiada pilihan selain menjual kapten Mesir itu pada musim depan supaya tidak kehilangan khidmatnya secara percuma sebaik kontraknya memasuki enam bulan terakhir.
Sebagai rekod, Xavi juga menjadikan pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling sebagai alternatif jika gagal membeli Salah. – AGENSI