LONDON – Legenda Arsenal, Nigel Winterburn percaya bekas kelabnya akan terus ‘kempunan’ untuk menghuni kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini meskipun menunjukkan prestasi cemerlang.
The Gunners ketika ini menduduki tangga kelima EPL dan belum tewas dalam 10 perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan termasuk menewaskan pencabar-pencabar utama seperti Tottenham Hotspur dan Leicester City.
Kecemerlangan itu menyaksikan Arsenal cuma ketinggalan dua mata dengan pasukan di tempat keempat, Liverpool selepas mengharungi 11 perlawanan EPL setakat ini.
Begitupun, Winterburn yang pernah bermain sebanyak 440 perlawanan bersama Arsenal, tetap merasakan bekas kelabnya itu akan menamatkan saingan di luar kelompok empat teratas dan terlepas slot Liga Juara-Juara musim depan.
“Adakah Arsenal mampu menduduki tempat keempat? Ia sukar kerana buat masa ini mereka tidak mempunyai pemain-pemain yang cukup bagus untuk mencapainya.
“Pasukan-pasukan seperti Manchester City, Liverpool dan Chelsea atau Manchester United yang akan berada dalam kelompok empat teratas berbanding Arsenal. West Ham juga lebih konsisten.
“Perjalanan musim ini masih panjang buat Arsenal dan situasi boleh berubah jika mereka dilanda krisis kecederaan. Saya harap Arsenal dapat buktikan tanggapan saya salah,” katanya.
Skuad bimbingan Mikel Arteta berpeluang memecah masuk kelompok empat teratas sekiranya berjaya menumbangkan Liverpool di Stadium Emirates awal pagi Ahad ini. – AGENSI