fbpx

Apa pun tiada lagi lockdown

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail pada 3 Jun lalu menunjukkan suasana lengang di ibu kota berikutan sekatan pergerakan penuh.

Ketika ini terdapat kebimbangan bahawa kes Covid-19 mula naik. Beberapa angka menunjukkan angka jangkitan mula naik.

Justeru terdapat kegusaran dalam kalangan rakyat. Kebanyakan menuding jari kepada pembukaan sektor ekonomi dan kebenaran rentas negeri sejak hampir dua bulan lalu.

Kebimbangan mula mencanak apabila banyak pihak terutama dalam sektor perubatan memberi amaran. Rasa takut dikuatkan apabila kadar kebolehjangkitan (R-Naught) di Malaysia meningkat melebihi 1.0, tertinggi sejak dua bulan lalu.

Amaran bahawa keadaan mula menunjukkan penyebaran semula. Beberapa negeri mencatatkan kenaikan pesakit di hospital berdasarkan peratusan. Di Kuala Lumpur jumlah yang memasuki wad dikatakan meningkat lebih 130 peratus.

Cuma apa yang dialami ketika ini kes Covid-19 adalah turun naik. Beberapa hari lalu, angka melepasi 6,000 kes sebelum kembali turun dalam lingkungan 5,000 kes.

Tetapi bukan semuanya menakutkan. Apa yang menggembirakan kelmarin jumlah kluster baharu adalah sifar, pertama kali dalam tempoh setahun. Setahun kita tidak mencatatkan kluster baharu. Itu pencapaian yang sangat positif.

Pada masa sama jumlah kematian telah menurun daripada hampir 300 orang kepada dalam lingkungan 50 orang sehari. Apa yang penting, program vaksinasi telah dilaksanakan. Lebih 95 peratus golongan dewasa telah lengkap divaksin dan lebih 65 peratus remaja juga kini dilindungi dengan vaksin.

Berdasarkan angka Reuters, Malaysia kini berada di tangga kesembilan di dunia dalam jumlah penduduk telah mengambil sekurang-kurangnya satu vaksin. Malaysia berada di atas UK, Jerman, Sepanyol, Perancis dan Itali. Ia kejayaan untuk negara.

Tetapi vaksin tidak memastikan tiada jangkitan. Covid-19 seperti selesema atau flu di negara sejuk. Di Amerika antara 2019-2020 (sebelum pandemik Covid-19), 380,000 orang dimasukkan ke hospital kerana penyakit berkaitan flu dan 20,000 kematian kerana influenza. Secara purata di Amerika, 36,000 mati kerana the flu setiap tahun.

Jadi Covid-19 akan menjadi seperti flu. Cuma bezanya, kadar jangkitan lebih cepat dan kesannya masih belum diketahui. Apa yang kita tahu langkah penjagaan telah ada termasuk memakai pelitup muka, menjaga kebersihan dan mengelak tempat sesak.

Ada merujuk kepada peningkatan kes seperti di UK yang meningkat sehingga 36,000 sehari ketika ini.

Apa yang jarang dikatakan, jumlah kematian di UK hanya 63 orang daripada 36,000 kes. Di Malaysia, jumlah kes hanya dalam lingkungan 5,000 tetapi kematian dalam 50 orang. Terdapat isu kesihatan yang perlu diberi perhatian sama ada tahap kesihatan atau penjagaan kesihatan.

Ketika mencari di mana silapnya, satu perkara yang tidak perlu dilakukan adalah ‘lockdown’. Malaysia telah laksanakan ‘mother of all lockdown’ sepanjang pandemik ini dan telah memberi kesan sangat buruk kepada kehidupan rakyat.

Tanya mereka yang dibuang kerja, dipotong gaji, diminta bercuti tanpa gaji dan ratusan ribu graduan yang gagal mendapat tempat.

Lockdown tidak boleh dilaksanakan sekali lagi walaupun kes meningkat. Tiga bulan penutupan sektor perniagaan menyaksikan ekonomi menguncup lebih 4 peratus. Itu adalah kehilangan kegiatan ekonomi bernilai kira-kira RM325 bilion.

Siapa yang perlu tanggung kerugian ini. Kita kena hidup dengan Covid-19. Naik atau turun, ramai di hospital atau tidak, tiada lagi sekatan atau lockdown kerana Malaysia tidak mungkin bangkit sekali lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI