PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengesan lapan kes pencerobohan berdekatan talian voltan tinggi akibat kerja-kerja pembinaan berhampiran kawasan rizab talian miliknya sehingga Oktober lalu.
Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin berkata, kes yang dilaporkan itu adalah meningkat tujuh kali ganda berbanding tahun lalu yang hanya mencatatkan satu kes.
Beliau berkata, keadaan tersebut amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa, malah ia turut mengganggu-gugat kestabilan serta keselamatan sistem grid nasional.
“Ini kerana sistem tersebut menyalurkan bekalan elektrik kepada hampir 9.5 juta pelanggan di Semenanjung Malaysia termasuk operasi sektor perindustrian dan perdagangan.
“Kami khuatir jika ada lagi pemaju yang masih mengingkari nasihat kami untuk menjauhi rentis talian penghantaran TNB, kes pelantikan (pencerobohan) tahun ini kembali meningkat kepada dua digit seperti yang dilaporkan pada tahun 2018 dengan 18 kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Husaini berkata, bagi menangani isu ini, TNB telah mengambil pelbagai langkah proaktif seperti membuat pemantauan dan mengenal pasti projek tanpa kelulusan dan membuat rondaan sepanjang talian bagi mengenalpasti kawasan berisiko tinggi.
Selain itu katanya, sesi libat urus dengan pihak berkuasa tempatan juga dilakukan selain usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemaju dan penduduk sekitar melalui pengedaran risalah, pemasangan papan tanda amaran, penggunaan kamera keselamatan pintar, memasang penghadang had ketinggian sementara serta meletakkan penanda sempadan di kawasan rentis TNB.
Di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), mana-mana pihak yang membuat aktiviti berhampiran dengan pepasangan elektrik tanpa kebenaran dan berkemungkinan mengganggu pepasangan elektrik tersebut atau menyebabkan bahaya kepada mana-mana orang atau harta, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- K! ONLINE