fbpx

14 ahli kongsi gelap mabuk bergaduh ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan menunjukkan anggota pertubuhan kongsi gelap yang ditahan Polis Johor menerusi Op Cahaya dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan 14 individu yang merupakan ahli kongsi gelap dalam dua insiden pergaduhan berasingan masing-masing di daerah Kulai dan Seri Alam, tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 40 tahun itu ditahan hasil daripada maklumat dan risikan awam.

Menurut beliau, pergaduhan tersebut dipercayai berpunca akibat pertengkaran sesama mereka ketika berada di bawah pengaruh alkohol.

“Kesemua suspek ditahan terdiri daripada lima individu dari Kumpulan 36); empat (Kumpulan 21) dan lima (Kumpulan 04).

“Mereka kini ditahan reman sehingga 17 November bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Sementara itu, Ayob Khan turut memberitahu, pihaknya juga menahan 16 ahli kongsi gelap menerusi Op Cahaya yang dijalankan di seluruh negeri sejak 28 Oktober hingga 10 November lalu.

Katanya, mereka antara 234 individu yang ditahan menerusi 1,348 serbuan yang dijalankan di premis pusat hiburan, pusat urut dan lain-lain tempat.

Katanya, operasi berkenaan dilancarkan bertujuan untuk mengawasi dan memantau keadaan sepanjang musim perayaan lalu agar tiada gangguan dan ancaman berlaku.

“16 ahli kongsi gelap yang berusia antara 17 hingga 50 tahun itu dikenalpasti berdasarkan tatu dan lambang geng yang terdapat pada tubuh badan mereka.

“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan dikenakan reman antara dua hingga empat hari daripada tarikh tangkapan,” ujarnya.

Sementara itu, Ayob Khan turut memberitahu, sejak Januari 2021 hingga 16 November lalu, seramai 70 anggota kongsi gelap terdiri dari tujuh geng berlainan telah ditahan polis.

“Pecahan yang ditahan melibatkan Geng 21 seramai 29 orang; Geng 36 (16 orang); Geng 04 (9 orang); Geng 08 (8 orang); Hong Hong San (2 orang); Ang Kong Kia (1 orang) dan Ngo Sek Kee (5 orang),” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI