JASIN – Permata angkat berat negara, Atikah Mohamad Sobri bertuah kerana mendapat peluang menimba ilmu dengan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Hidilyn Diaz.
Difahamkan, Hidilyn bersedia menjadikan Atikah sebagai anak didiknya dengan membawa gadis berusia 20 tahun tersebut berlatih bersama di negaranya, Filipina selama tiga bulan.
Menariknya, atlet berusia 30 tahun itu juga akan menanggung sepenuhnya perbelanjaan Atikah sepanjang berlatih di sana nanti.
Ia tentunya satu perkembangan terbaik buat Atikah yang pernah memenangi pingat emas angkat berat 58 kilogram (kg) buat Malaysia pada Sukan Remaja Komanwel 2015 di Apia, Samoa.
Situasi itu seolah-olah tanda terima kasih daripada Hidilyn kepada Malaysia terutama Pusat Latihan Angkat Berat Kampung Kesang Tua di Jasin, Melaka yang menjadi venue latihannya sebelum bergelar pemenang pingat emas Olimpik pertama buat Filipina.
Kejayaan Hidilyn itu menjadi inspirasi enam atlet remaja negara berusia 12 hingga 20 tahun seperti Atikah, Ahmad Fadhil Ahmad Janius, Nur Batrisya Yaakop, Muhammad Daniel Yaakop, Muhammad Izzul Hakimi dan Nurul Syasya Khairina Samsur.
Dalam perkembangan sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengadakan lawatan ke pusat latihan tersebut bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail hari ini.
Ahmad Faizal dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengiktiraf sumbangan pusat latihan tersebut dan akan berbincang dengan MSN bagi membolehkan ia dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat khususnya di Melaka. – K! ONLINE