PETALING JAYA – “Insya-Allah pada tahun 2022.”
Demikian respons ringkas adik kepada selebriti popular Neelofa iaitu Ameera Khan selepas ditebak dengan soalan mengenai perancangan perkahwinannya oleh netizen.
Jawapan tersebut tercetus selepas seorang netizen bertanya menerusi satu sesi soal jawab dalam InstaStorynya:”Bilakah awak akan mendirikan rumah tangga.”
Lebih menarik perhatian ramai, Ameera, 20, yang lebih dikenali sebagai Little Miss Khan atau LMK turut memuat naik sekeping foto menggayakan sebentuk cincin emas putih bertakhtakan batu berlian.
Selain mengenai soalan tarikh perkahwinan, dia juga turut menerima soalan mengenai siapakah jejaka yang bakal menjadi bakal suaminya nanti.
“Sudah ada calon suami,” soal seorang lagi netizen.
Bagaimanapun, Ameera menjawab dia masih belum mempunyai calon suami walaupun sudah mempunyai tarikh dan cincin perkahwinan.
Malah dia juga memberitahu mengimpikan seorang lelaki yang patuh dengan perintah Tuhan berbanding mengejar kekayaan atau memiliki wajah yang kacak.
“Belum lagi tetapi cincin dan tarikh kahwin sudah ada, sedang mencari jodoh ketika ini. Saya cuma cakap tahun 2022 dan terus berdoa perkara tersebut akan terjadi.
“Saya juga mencari lelaki yang taat kepada Allah SWT,” jawabnya lagi.
Dalam pada itu, LMK turut berkongsi satu pesanan yang paling baik pernah diberikan Neelofa kepadanya.
“Jangan biar sesiapa (khususnya kaum lelaki) menyuruh melakukan sesuatu hal atau menghalang melakukan perkara yang anda suka.
“Ini merupakan nasihat paling terbaik kerana kadnag-kadang saya juga boleh menjadi seorang yang tidak bijak,” kongsinya lagi.
Sebagai info, LMK juga pernah dikecam kerana gara-gara pakaian dan aksi mencolok mata. – K! ONLINE