JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan masyarakat bahawa poster yang memaparkan baginda menyeru rakyat menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah palsu.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook, Baginda bertitah, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang disebarkan di media sosial ketika ini.
“Ini adalah satu kenyataan palsu yang terus disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di dalam pelbagai aplikasi media sosial.
“Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) sebelum ini sudah membuat laporan polis berhubung penyebaran kenyataan palsu ini,” jelas kenyataan tersebut.
Poster yang tular itu memaparkan gambar Sultan Ibrahim dengan kenyataan ringkas seolah-olah baginda mahu UMNO berhenti memperdaya rakyat dengan tipu helah.
Tambah kenyataan itu lagi, Sultan Ibrahim turut bertitah bahawa segala kenyataan atau laporan berita berkaitan dengan Baginda ataupun Keluarga DiRaja Johor hanya akan dikeluarkan oleh Royal Press Office.-K! ONLINE