BEREGU lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mendapat suntikan semangat menjelang kejohanan badminton Indonesia Masters yang akan bermula esok apabila tersenarai dalam anugerah Pemain Paling Meningkat Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Aaron dan Wooi Yik yang masih memburu gelaran sulung dalam saingan antarabangsa berada dalam pencalonan itu selepas merangkul pingat gangsa pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 Ogos lalu.
Aaron mengakui gembira dengan pencalonan tersebut, namun dia enggan terlalu berharap kerana perlu bersaing dengan beberapa calon lain yang turut memiliki rekod cemerlang.
“Secara jujur, memang saya gembira kerana kami terpilih sebagai calon untuk anugerah tersebut selepas bersaing dengan ramai pemain yang boleh dikatakan terbaik di dunia.
“Bagaimanapun, ini hanyalah pencalonan, bukannya kami sudah menang anugerah tersebut. Dapat tersenarai dalam pencalonan pun sudah merupakan satu penghormatan untuk kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam anugerah tersebut, Aaron-Wooi Yik berdepan persaingan daripada rakan sepasukan yang juga perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia, perseorangan wanita Thailand, Pornpawee Chochuwong serta pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.
Selain Aaron-Wooi Yik dan Zii Jia, pemain badminton para negara yang juga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou tersenarai untuk anugerah Pemain Para Lelaki Terbaik Tahunan.
Menjelang aksi Indonesia Masters yang bermula esok, Aaron-Wooi Yik turun sebagai pilihan kelima kejohanan dan akan membuat perhitungan dengan gandingan dari England, Ben Lane-Sean Vendy di pusingan pertama.