KUALA LUMPUR – Pemilik kereta BMW yang menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’ sepertimana tular di media sosial telah disaman hari ini atas kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya menerima aduan berhubung rakaman video yang tular berdurasi 11 saat menunjukkan sebuah kereta jenis BMW berwarna kelabu menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’.
“Bertindak atas aduan, pada pukul 2.45 petang pemandu kenderaan tersebut telah hadir di Balai Trafik, Jalan Bandar bagi tujuan siasatan.
“Hasil siasatan mendapati pemandu kenderaan tersebut yang merupakan wanita berumur 32 tahun telah membuat pengakuan bahawa kenderaan yang tular adalah miliknya,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihaknya juga telah mengeluarkan saman di atas kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
“Justeru itu, pemandu telah menukar semula kepada nombor pendaftaran yang asal,” katanya.
Ujar beliau, pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya. – K! ONLINE