fbpx

Pandemik dorong rakyat terima teknologi baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adham

PUTRAJAYA – Pandemik Covid-19 mendorong rakyat Malaysia untuk menerima teknologi baharu sekali gus memastikan kelangsungan perniagaan dan kehidupan dalam tempoh kemerosotan ekonomi ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, menuju ke hadapan, negara perlu membina semula ekonomi berteraskan teknologi baharu sekali gus muncul sebagai sebuah masyarakat lebih kuat dan berdaya tahan.

“Saya percaya kunci utama memperkasakan Keluarga Malaysia adalah memberi tumpuan kepada pembangunan dan penggunaan teknologi termaju,” katanya pada sesi webinar bertajuk Rancangan Ke-12: Pemerkasaan Pembangunan dan Pengkomersialan Teknologi secara maya hari ini.

Katanya, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan sebelum ini tepat pada waktunya kerana ia telah mengubah beberapa industri dan aktiviti strategik termasuk elektrikal serta elektronik dan pertanian pintar.

Adham berkata, Keluarga Malaysia perlu bergerak maju dengan teknologi automasi dan penjenteraan dalam rantaian proses pembuatan.

Menurutnya, kementeriannya komited memperkasakan sektor ekonomi Malaysia dalam bidang pertanian, pembuatan, perkhidmatan dan mitigasi bencana berasaskan teknologi.

“Sebagai contoh, Malaysia perlu memperbanyakkan penggunaan penyelesaian digital seperti analisis data besar, kecerdasan buatan, ‘blockchain’ dan teknologi penderia (sensor).

“Justeru, industri perlu mengubah model perniagaan mereka supaya lebih berdaya tahan dengan meningkatkan dan memberikan tumpuan kepada Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0),” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI