fbpx

Mahkamah jenayah tidak boleh batal perbicaraan rasuah Rosmah – pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sri Ram ketika tiba di Mahkamah Rayuan hari ini.

PUTRAJAYA – Pasukan pendakwaan hari ini berhujah bahawa mahkamah jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan permohonan dan pengisytiharaan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah solar yang di hadapinya.

Sri Ram yang merupakan ad-hoc dalam pasukan kes rasuah itu ketika berhujah berkata, ini kerana perayu (Rosmah) sepatutnya memfailkan semakan kehakiman (di mahkamah sivil) untuk pengisytiharan sedemikian kerana mahkamah jenayah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberikan sebarang perintah berbentuk deklarasi dalam kes-kes jenayah.

Bagaimanapun peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah membantah hujah berhubung bidang kuasa mahkamah jenayah mengeluarkan perintah berbentuk deklarasi kerana isu itu adalah satu perkara yang baharu dibangkitkan hari ini dan sesuatu yang difikirkan kemudian.

Justeru, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah bersama-sama dengan dua lagi hakim Datuk M.Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah memerintahkan kedua-dua belah pihak untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing.

“Pada pandangan kami, isu bidang kuasa adalah kritikal dan mempunyai implikasi terhadap merit rayuan ini.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan penangguhan bagi membolehkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan lanjut hanya bagi isu sama ada mahkamah jenayah mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah berbentuk deklarasi,” kata hakim Hanipah.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 November ini untuk kedua-dua belah pihak memfailkan hujahan.

Pada 24 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan Sri Ram.

Dalam penghakiman ringkasnya, Mohamed Zaini berkata pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas adalah sah selain tiada keperluan untuk membahaskan isu kesahihan berhubung fiat (surat pelantikan) atau pelantikan Timbalan Pendakwa Raya itu.

Sebelum ini, dalam prosiding terdahulu Sri Ram berhujah, pelantikan beliau selaku pendakwa raya bermula 30 Ogos 2018, adalah sah.

Beliau berhujah, ini kerana Seksyen 50(b) Akta Tafsiran 1948/1967 (Akta 388) menyatakan mana-mana badan boleh melantik individu yang sesuai secara kebelakang (retrospektif) untuk melaksanakan tugasnya.

Pada peringkat sekarang, Rosmah sedang disoal balas oleh Sri Ram pada perbicaraan bela diri kes solar tersebut yang akan bersambung pada 8 Disember ini.

Mengikut pertuduhan Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI