fbpx

Hanelang Warriors juara Terengganu Royal 7’s

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANELANG Warriors muncul juara Kejohanan Terengganu Royal 7s di Stadium Rabgi Tengku Muhammad Ismail di Kuala Terengganu semalam.

Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

KUALA TERENGGANU – Wakil tuan rumah, Hanelang Warriors mengetepikan cabaran sengit Polis Diraja Malaysia (RMP) Blues 15-14 untuk muncul juara kategori utama Kejohanan Ragbi Terengganu Royal 7’s di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail di sini semalam.

Ketinggalan 0-7 selepas satu try dan conversion daripada pasukan lawan, Hanelang Warriors berjaya bangkit pada babak kedua melalui tiga try untuk mendahului dengan keputusan 15-7.

RMP Blues memberi saingan dengan menambah tujuh lagi mata hasil satu try dan conversion pada hujung permainan, namun sudah terlewat untuk menghalang kemenangan tuan rumah.

Selaku juara, Hanelang Warriors merangkul Piala Tengku Muhammad Ismail, pingat dan hadiah RM10,000, manakala RMP Blues pula terpaksa berpuas hati dengan RM7,000 beserta pingat.

Perlawanan akhir bawah 22 tahun (B22) pula menyaksikan pertemuan sesama sendiri wakil Selangor, Royal Town Warriors yang berjaya menewaskan Selangor Dev 21-12.

Kemenangan itu membolehkan pasukan Royal Town Warriors membawa pulang trofi, pingat dan RM5,000, manakala Selangor Dev menerima pingat beserta RM2,000 selaku naib juara.

Turut meraih kejuaraan adalah Putrajaya Dingoes bagi kategori wanita selepas mudah mengalahkan skuad Sukan Malaysia (Sukma) Kedah dengan 22 mata tanpa balas.

Sebanyak 43 pasukan dari seluruh negara menyertai kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu selain ia merupakan yang terbesar dalam kalendar ragbi negara selepas hampir dua tahun tertangguh ekoran pandemik Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI