PETALING JAYA – Seorang wanita berkongsi gelagat seekor anjing yang berlari meluru ke arah kanak-kanak perempuan gara-gara haiwan itu menyangka budak tersebut jatuh.
Menerusi perkongsian video oleh @Queeniejasia di laman aplikasi TikTok, haiwan tersebut terus melarikan diri dari pemiliknya selepas melihat kanak-kanak perempuan itu seperti dalam keadaan terjatuh.
Berdasarkan video berdurasi sembilan saat di TikTok itu, pemilik anjing berkenaan tidak sempat untuk mengejar haiwan peliharaannya itu kerana kejadian itu berlaku dengan sangat pantas.
Menerusi tinjaun Kosmo! di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial yang bukan beragama islam berasa kasihan dengan keadaan budak perempuan itu dan ada juga menasihati agar pemilik berkenaan membawa ‘leash’ (rantai anjing).
Salah seorang pengguna @fedrickding berkata, dia berpesan kepada orang ramai yang ingin membawa haiwan peliharaan terutamanya anjing sila bawa ‘leash’ masing-masing untuk mengelak kejadian yang tidak diingini.
“Wahai rakyat Malaysia yang selalu bawa anjing ke taman, haiwan peliharaan kita kena sentiasa pasang tali supaya tak jadi kejadina macam ini. Kalau anjing yang agresif amat berbahaya.
“Tak pasal-pasal anak orang kena gigit, bahaya kena sentiasa berjaga-jaga yang ada bawa anjing ke kawasan ‘public’ (tempat awam) walaupun jenis anjing yang kecil. Kita kena sentiasa peka dengan sekeliling,” ujarnya.
Sementara itu, @Esclairx berkata, sebagai seorang warganegara Malaysia yang tidak beragama Islam dia menasihati agar sentiasa hormati dengan pegangan individu beragama muslim.
“Saya sebagai rakyat Malaysia yang bukan beragama islam, tolong ‘respect’ (hormati) kawan-kawan muslim yang tidak dibenarkan menyentuh anjing, tolong letak tali dan jaga anjing anda sebaik mungkin,” jelasnya.
Bagaimanapun, melihat kepada video berkenaan keadaan kanak-kanak perempuan itu selamat dari sebarang kecederaan. – K! ONLINE.