BARU beberapa bulan dilaporkan putus cinta, penyanyi kontroversi Mina sekali lagi menyapa perhatian khalayak apabila dilihat sudah menemui pengganti.
Menerusi temu bual bersama Hankook Ilbo, bekas anggota kumpulan AOA itu tanpa berselindung mengakui, sedang menjalin hubungan cinta dengan seseorang.
“Saya ada teman lelaki. Kami sudah berkawan sejak empat tahun lalu. Tapi hubungan ini bertukar menjadi cinta sejak beberapa bulan lalu. Kami ada personaliti yang sama,” dedahnya.
Alang-alang terbuka mendedahkan cinta kepada umum, penyanyi itu juga bercerita tentang pendekatan terbuka dalam soal cinta.
“Saya tak nak sorok fakta bahawa saya sedang bercinta. Lagipun saya tak rasa ini satu kesalahan untuk mendedahkan hubungan cinta kepada umum,” katanya lagi.
Teman lelaki baharu Mina merupakan seorang pereka fesyen pakaian lelaki.
Lelaki itu juga memberi semangat kepadanya untuk membuka perniagaan sendiri selain kerap berkongsi nasihat dan tips untuknya mencuba perkara baharu.