ALOR GAJAH – Seorang ibu berdepan detik cemas apabila bayi perempuannya berusia 10 bulan terkunci di dalam kereta di Taman Sri Pelangi, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi itu, bayi tersebut bagaimanapun berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Nazri Mat Rais berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 9.54 pagi dan sepasukan 14 anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi kita dapati seorang bayi perempuan berusia 10 bulan terkunci di dalam kereta jenis Proton Saga.
“Operasi menyelamat dilakukan dan mangsa berjaya dikeluarkan dalam masa kurang 10 minit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan fungsi kunci automatic (auto lock) kenderaan tersebut.
“Ketika ibu mangsa keluar daripada kereta, tiba-tiba kenderaan itu terkunci sendiri.
“Bayi tersebut bagaimanapun berada keadaan selamat dan diserahkan semula kepada ibunya,” katanya. -K! ONLINE