PERNAH mencetuskan kontroversi sehingga menghilangkan diri daripada radar dunia hiburan sebanyak dua kali, penyanyi Shahir Zawawi kini kembali membuat kemunculan.
Empat tahun menyepi, Shahir kini tampil dengan imej rambut panjang melepasi bahu, pada usia 33 tahun, juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu kelihatan matang, malah bicaranya juga tersusun lebih rapi.
Namun, karakter jejaka itu tetap itu tetap sama seperti ketika mula-mula menggegar industri seni 11 tahun lalu. Dia masih mudah tersenyum, selain tersipu-sipu apabila diusik.
Seperti sekian banyak kali dikongsikan selama ini, pemilik nama sebenar Ahmad Shahir Zawawi, 33, itu menegaskan ‘kehilangannya’ bukan disebabkan merajuk atau lari daripada kontroversi, sebaliknya mahu menumpukan perhatian terhadap perniagaan.
Pertandingan AF Megastar 2017 yang menyaksikan kemaraannya di pentas akhir bertarung dengan rakan seperjuangan menjadi penampilan terakhir anak jati Perak itu di kaca televisyen.
Aktif semula
Ditebak sama ada kemunculan semula tahun bagi mengubati hati susulan gosip perkahwinan wanita yang pernah bertahta di hatinya, Erra Fazira, Shahir terdiam seketika.
Enggan mencetuskan spekulasi lain, dia terus membuka mulut, menerangkan situasi membabitkan kerjaya seninya yang tiada kena mengena dengan individu lain.
“Saya hilang kerana memberi tumpuan terhadap perniagaan tetapi pada masa sama masih terbabit dalam kerja seni belakang tabir cuma tidak muncul di televisyen.
“Apa pun saya tidak nafikan ‘gangguan’ yang berlaku ketika program AF Megastar sekitar empat tahun lalu menjejaskan fokus saya.
“Sejujurnya saya bukan seorang yang boleh berdepan dengan pelbagai perkara dalam satu masa tetapi tidak bermakna saya jenis suka melarikan diri daripada masalah.
“Apa yang boleh saya katakan saya tidak suka memanjangkan sesuatu masalah. Bagi yang faham situasi itu fahamlah kerana saya tak mahu tercetus isu lain.
“Semua ini pengalaman berharga yang mematangkan diri,” katanya yang diumumkan sebagai seorang daripada lapan penyanyi yang bertanding dalam program realiti Hijrahkan Laguku, minggu lalu.
Selain Shahir, penyanyi lain yang turut bertarung dalam pertandingan anjuran TV AlHijrah tersebut ialah Datuk Nash, Iwan Shahman, Mark Adam, Pangeran Adam, Zaf VE, Pangiran Adam,
Zack Kool dan Rahmad Mega.
Terdahulu, pada awal bulan lalu, industri hiburan kecoh apabila tersebar gosip mendakwa Erra menjadi isteri kepada seorang ahli politik dari Perak yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Kontroversi mula bertiup kencang apabila seorang pengguna Twitter memuat naik ciapan mendakwa Erra sudah menjadi isteri kedua ahli politik itu.
Bagaimanapun, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 47, menerusi Instagram menafikan dakwaan kononnya dia sudah bergelar isteri Ahmad Faizal Azumu.
Nama Shahir yang juga bekas kekasihnya turut terheret memandangkan Erra pernah membuat pengakuan bahawa hubungan mereka sudah berakhir, namun tetap bersahabat.
Masih solo
Tidak mahu terus berteka-teki, penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan ini menegaskan masih solo tanpa terikat kepada mana-mana wanita.
Malah, katanya mahu lebih fokus kepada kerjaya seni yang baharu hendak bermula terutama membuat persediaan untuk program realiti disertainya itu.
“Saya masih single, malah buat masa ini, saya mahu fokus pada kerja selepas sekian lama tidak membuat persembahan secara langsung seperti dalam Hijrahkan Laguku itu.
“Sudah tentu kemunculan semula ini membawa warna baharu dalam kerjaya nyanyian saya sekali gus ingin menunjukkan saya serius untuk terus aktif.
“Ini baharu permulaan dan memerlukan 100 peratus komitmen selain semangat kuat kerana sepanjang pertandingan kami semua mencabar diri sendiri.
“Begitupun, pada usia yang sudah mencecah 33 tahun, kalau boleh saya tidak mahu hidup sendirian buat selama-lamanya. Saya berserah kepada-Nya,” kata anak muda itu lagi.
Diminta mengulas lagi mengenai desas-desus berkenaan wanita yang masih menjadi sahabatnya itu, Shahir mengakui tidak mengetahui kesahihan dakwaan berkenaan.
Dia yang berhubung kali terakhir dengan Erra di telefon beberapa hari lalu langsung tidak bertanyakan kesahihan perkara yang diketahui menerusi seorang rakan lain itu.
Akuinya jika benar, dia hanya mendoakan insan yang pernah bertakhta di hati selain memberikan sokongan jika perkahwinan tersebut memberi kebahagiaan.
“Bagi saya, kalau dia kahwin, itu benda baik dan bukannya kena tangkap. Jadi benda baik, tak perlu terkejut. Yang penting kita doakan. Saya pun tidak terkejut atau berasa kecewa.
“Kalau kita ikhlas berkawan dengan seseorang, apabila sesuatu perkara baik terjadi kepada dia, sudah tentu kita patut tumpang gembira
“Tetapi, jika ada rasa sebaliknya bermakna ada sesuatu tidak kena. Jadi, saya hanya doakan baik-baik untuk Erra,” ujar Shahir dengan tenang.
Berharap dapat merealisasikan sebuah lagu baharu selewat-lewatnya pada awal tahun depan, katanya misi kembali semula ke persada hiburan sebagai cara untuk berkongsi karya bermanfaat dengan orang ramai.