JAKARTA – Sebuah video yang menunjukkan aksi seorang wanita secara tidak sengaja menumis masakannya dengan menggunakan cecair pencuci lantai menjadi tular di media sosial, lapor laman berita Suara.com.
Menerusi video yang dimuat naik pemilik akaun TikTok bernama @kacangijo.8, wanita tersebut mendedahkan bahawa dia terpaksa membuang masakannya.
Dia yang pada asalnya mahu mengambil minyak sayuran tanpa sengaja telah mencapai botol berisi cecair pencuci lantai dan memasukkan cecair itu ke dalam sayur yang sedang dimasak.
Namun, kesilapan itu hanya disedari selepas hidangan itu siap dimasak.
“Saya merasa masakan saya dan rasanya sangat pelik, akhirnya saya membuangnya,” katanya.
Netizen yang menonton video tersebut kemudiannya meninggalkan pelbagai komen dengan rata-ratanya berasa hairan kerana wanita itu tidak mampu membezakan cecair pencuci lantai dengan minyak sayuran.
“Minyak dan cecair pencuci lantai kan berbeza, mana mungkin anda tidak perasan?,” soal seorang netizen.
“Mengapa anda meletakkan cecair pencuci lantai berhampiran minyak untuk menggoreng?” soal seorang lagi netizen.
“Jika anda sedang dalam mood tidak baik, seeloknya anda tidak masak,” komen netizen lain. – AGENSI