fbpx

Tiga nelayan hilang ditemui selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot mereka karam diselamatkan sebuah bot nelayan di Pulau Sembilan dekat Bagan Datuk.

LUMUT – Tiga nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka karam bernasib baik apabila diselamatkan bot lain dari Pulau Pangkor di perairan Pulau Sembilan, dekat Bagan Datuk pukul 11 pagi tadi.

Sebelum ini, bot mereka dipercayai karam di perairan Pulau Talang dekat Pantai Remis malam tadi.

Mereka ialah tekong bot, Mohd. Nor Sulaiman, 62, bersama anaknya, Norasmawi, 29, dan seorang lagi kru berusia 70 tahun yang bekerja dengan pemilik bot nelayan berpangkalan di Pantai Remis.

Menurut isteri Mohd. Nor, Dayang Ismail, suami dan anak keempatnya itu dan seorang kru sudah pulang ke rumah dalam keadaan selamat selepas dihantar ke jeti pelantar Pantai Remis.

Jelas Dayang, suaminya menghubungi anak sulung mereka pada pukul 8.30 malam semalam memberitahu bot dinaikinya sedang tenggelam dan meminta bantuan.

“Dalam perbualan itu suaranya tidak jelas, jadi anak ingat bot abahnya tenggelam dekat Pulau Talang, rupa-rupanya Pulau Sembilan,” jelas Dayang ketika dihubungi petang ini.

Dayang kemudian terus menghubungi talian kecemasan dan membuat laporan kejadian itu manakala beberapa anaknya dan nelayan kampung bergerak ke Pulau Talang, malangnya tidak menemui mereka.

“Sejak malam tadi saya gundah gulana tidak dapat tidur dan tidak menjamah sebarang makanan risaukan keadaan suami dan anak selepas bot mereka karam.

“Tapi sekarang sudah tenang semula dan lega sangat apabila mereka semua didapati selamat,” kata Dayang yang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat mencari suaminya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI