KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) sekadar membawa bekalan tipis apabila mengatasi Sarawak United 2-1 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Keputusan itu sedikit sebanyak melegakan Sarawak United yang berjaya membawa pulang satu gol berharga dari tempat lawan sebelum aksi timbal balik pada Khamis ini.
Pemain Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim, terlebih dahulu menceriakan 8,700 penyokong TFC hasil rembatan deras dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gawang pelawat, Mohd. Sharbinee Allawee pada minit ke-17.
Kelebihan itu tidak bertahan lama selepas pemain TFC, Shahrul Nizam Roshasni melakukan kesilapan tertanduk bola hantaran Tommy Mawat Bada ke dalam pintu gol sendiri pada minit ke-22.
Memasuki minit ke-51, TFC kembali mendahului hasil jaringan Mohd. Faiz Nasir yang menyambar hantaran ke belakang oleh Mintah bagi menewaskan Sharbinee buat kali kedua.
Hasrat TFC menambah gol tidak berhasil apabila percubaan Engku Nur Shakir Engku Yacob (m-69) serta sepakan percuma Lee Tuck (m-89) masing-masing sekadar singgah di palang gawang lawan. – K! ONLINE